malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Kalau ada isytihar perang, kita sambut perang' - Dewan Rakyat panas
ADS

PARLIMEN | Dewan Rakyat hari ini “panas” apabila ahli parlimen pembangkang menimbulkan kenyataan kontroversi "perisytiharan perang" Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Sehubungan itu, Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Mohd Yusof mengingatkan semua ahli parlimen agar tidak mengapi-apikan kenyataan yang boleh menyebabkan ketegangan kaum.

Mohamad Ariff memberi peringatan itu susulan kekeceohan ketika Ketua Pembangkang Ismail Sabri Yaakob berbahas dan menyentuh tentang kenyataan asal Lim yang menyifatkan kerjasama PAS dan Umno merupakan "pengisytiharan perang" terhadap bukan Islam.

"Peraturan mesyuarat juga sebutkan jangan bangkitkan isu-isu yang menimbulkan perasaan jahat antara kaum.

"Jadi memadai jika sesuatu sudah kita sebut, tak perlu disokong atau diapi-apikan," kata Mohamad Ariff.

Rabu lalu, Lim mengeluarkan kenyataan media berbahasa Cina menggesa MCA meninggalkan BN kerana menurutnya, Umno dan PAS "mengisytiharkan perang" terhadap golongan bukan Islam.

Selepas kenyataan itu dilapor media, Lim membuat pembetulan dengan mengeluarkan istilah "pengisytiharan perang" dan menggantikannya dengan perkataan "menyasarkan".

Ismail Sabri

Terdahulu, dalam ucapannya, Ismail Sabri mempersoalkan sama ada kenyataan asal Lim boleh dianggap provokasi ke atas masyarakat bukan Islam untuk "mengisytiharkan perang" terhadap masyarakat Islam di Malaysia.

"Adakah ia (kenyataan Lim) merupakan provokasi kepada bukan kaum Melayu untuk isytihar perang kepada orang Melayu di negara kita?

"Ini merupakan satu provokasi yang amat serius. Kalau provokasi ini diambil oleh pihak bukan Melayu dan seterusnya mengisytiharkan perang terhadap orang Melayu, bermakna tentu saja akan berlaku sesuatu perkara yang tidak kita ingini seperti 13 Mei 1969," kata ahli parlimen Bera itu.

Sejurus selepas itu, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan (PAS-Kota Bharu) berkata: "Kalau ada isytihar perang, kita sambut perang".

Takiyuddin Hassan

Azalina Othman Said (BN-Pengerang) kemudian bertanya ahli parlimen mana yang membuat kenyataan itu, yang membuatkan Takiyuddin tampil dan mengulang sekali lagi: "Saya cakap, kalau ada isytihar perang, kita sambut perang".

Pemimpin PH kemudian menyatakan bantahan dengan kenyataan itu, sebelum Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) pula berdiri dan mengulangi: "Kalau ada perang kita sambut perang!"

Lim tidak hadir di Dewan Rakyat.

Semalam, Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun mendedahkan bahawa 58 laporan polis telah dibuat mengenai perkara itu dan Lim mungkin dipanggil untuk disoal siasat.

Lihat Komen