malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Gara-gara cinta ditolak, pelajar panjat bumbung nak bunuh diri
Diterbitkan:  Mar 12, 2019 8:42 PM
Dikemaskini: 12:42 PM
ADS

Seorang pelajar lelaki tingkatan satu cuba membunuh diri dengan memanjat dan berjalan di atas bumbung bangunan dua tingkat sekolahnya di Banting, Selangor hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Supt Azizan Tukiman berkata polis menerima panggilan daripada pihak pentadbiran sekolah itu mengenai insiden berkenaan kira-kira pukul 1.30 petang.

Bagaimanapun kata beliau, pelajar itu berjaya diselamatkan setelah dipujuk hampir setengah jam oleh anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor.

Beliau berkata pelajar itu hanya mengalami kecederaan ringan pada bahagian lengannya semasa proses menyelamat dan dibawa ke Hospital Banting untuk rawatan.

“Siasatan mendapati pelajar itu mengaku cuba membunuh diri kerana kecewa apabila cintanya ditolak oleh seorang pelajar perempuan sebayanya selepas dia meluahkan perasaan kepada gadis itu kelmarin.

“Alasan pelajar perempuan itu, dia tidak meminati remaja berkenaan sebaliknya menyukai pelajar lelaki lain,” katanya dalam satu kenyataan di Shah Alam, hari ini.

Azizan berkata disebabkan itu, pelajar lelaki berkenaan berasa putus asa dan mengambil keputusan untuk membunuh diri malah remaja itu juga didapati menulis satu nota yang menjelaskan tujuannya berbuat demikian.

Namun kata beliau, guru pelajar itu memberitahu bahawa remaja berkenaan seorang yang baik serta pendiam selain tidak mempunyai sebarang rekod disiplin.

Azizan berkata setakat ini, masih belum ada laporan polis dibuat oleh pihak sekolah mahupun ibu bapa pelajar berkenaan.

Terdahulu, dua buah video masing-masing berdurasi 20 saat dan satu minit sembilan saat tular dalam aplikasi WhatsApp berhubung tindakan cubaan membunuh diri pelajar itu.

- Bernama

Lihat Komen