malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Terbitan Bon Samurai tarik lebihan langganan 1.6 kali
Diterbitkan:  Mar 12, 2019 12:45 PM
Dikemaskini: 8:48 AM
ADS

PARLIMEN l Bon Samurai yang berjaya diterbitkan, menarik lebihan langganan sebanyak 1.6 kali ganda iaitu 324.7 billion yen berbanding 200 bilion yen yang ditawarkan, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Beliau berkata langganan tersebut menunjukkan keyakinan pelbagai institusi dan pelabur berkualiti dari Jepun.

“Kerajaan berjaya menerbitkan Bon Samurai ini, yang bermatlamat untuk memastikan rakyat dapat menikmatinya (hasil kutipan),” katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri pada persidangan Dewan Rakyat, di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid (PH-Kapar) yang bertanyakan mengenai langkah kerajaan bagi menarik pelabur asing ke Malaysia.

Kerajaan sebelum ini berjaya menerbitkan Bon Samurai dengan jaminan Japan Bank for International Cooperation (JBIC) bagi had tempoh matang 10 tahun dengan kos keseluruhan kepada kerajaan Malaysia sebanyak 0.63 peratus setahun.

Hasil kutipan daripada terbitan Bon Samurai itu akan digunakan untuk membiayai perbelanjaan pembangunan yang antara lain meliputi pembinaan sekolah, hospital, jalan raya dan infrastruktur.

Mizuho Bank, HSBC Malaysia dan Daiwa Securities dengan kerjasama Affin Hwang Investment Bank merupakan pengatur utama bersama bagi terbitan tersebut.

Sementara itu, Lim berkata kerajaan berusaha memulihkan ekonomi negara bagi membolehkan cukai korporat diturunkan dalam tempoh tiga tahun.

Katanya, bagi perusahan kecil dan sederhana dengan modal berbayar sebanyak RM2.5 juta ke bawah, cukai korporat berjaya diturunkan kepada 17 peratus berbanding 18 peratus sebelum ini.

“Di samping itu, skim pinjaman yang fleksibel oleh bank komersial mampu memulihkan keyakinan pelabur asing, dengan pelaburan langsung asing telah meningkat dengan ketara dalam tempoh sembilan bulan pertama 2019," katanya.

- Bernama

Lihat Komen