malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Peguam Najib mohon akses sama bagi dokumen kes SRC
ADS

Pasukan peguam Najib Razak memohon untuk mendapatkan dokumen dan kenyataan daripada pihak pendakwa berkaitan tujuh pertuduhan berkenaan SRC International.

Peguam Harvinderjit Singh memberitahu Mahkamah Rayuan di Putrajaya hari ini bahawa pihak pendakwa "sebaiknya dan perlu" menyerahkan dokumen berkaitan kepada mahkamah dan pihak pembelaan sebelum perbicaraan bermula.

Ini terutama kerana pihak pembelaan perlu menyerahkan dokumennya, mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Beliau berkata permintaan itu dibuat atas dasar"kesaksamaan".

"Satu-satunya yang ditimpa kesusahan dalam kegetiran ini adalah tertuduh," katanya kepada panel tiga hakim iaitu Zabariah mohd Yusof, Lau Bee Lan dan Rhodzariah Bujang.

Najib turut hadir ke mahkamah hari ini.

Beliau dihadapan tujuh pertuduhan salah guna kuasa, pengubahan wang haram dan pecah amanah jenayah melibatkan RM42 juta daripada SRC, syarikat milik kerajaan yang berkaitan dengan 1MDB.

"Adakah kerajaan litigan persendirian'

Hari ini mahkamah turut mendengar dua lagi rayuan berkenaan kes itu.

Salah satunya adalah perintah larangan (gag order) terhadap media yang dimohon pihak pembelaan sebelum ini.

Berbanding perintah larangan itu, Harvinderjit meminta mahkamah mengeluarkan "panduan" (direction) kepada orang ramai berkenaan bagaimana perbicaraan itu perlu dilapor atau dibincangkan.

Beliau berkata asas hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali untuk menolak permohonan awal mereka telah dirangkumkan dalam beberapa perenggan yang boleh ditafsirkan sebagai panduan.

Mengulas perkara itu, Peguam Negara Tommy Thomas berkata perenggan tersebut "tidak boleh dibaca secara sendiri" dan penghakiman Nazlan perlu dilihat secara keseluruhan.

Satu lagi rayuan adalah berkenaan permohonan Najib agar Sulaiman Abdullah tidak lagi menjadi ketua pendakwa dalam kes itu.

Harvinderjit mempersoalkan mengapa pihak pendakwa enggan menunjukkan fiat (perintah) yang menyatakan pelantikan Sulaiman.

Sulaiman Abdullah

Thomas berkata berdasarkan undang-undang, kerajaan - seperti semua litigan - tidak perlu mendedahkan bagaimana peguamnya dilantik.

Maka Najib, katanya lagi, tiada hak undang-undang atau kepentingan untuk mempersoalkan pelantikan Sulaiman.

"Tiada beza antara kerajaan Malaysia dengan anak guam persendirian.

"...Bukan urusan mana-mana pihak, sama ada mahkamah atau pihak lawan, untuk melihat kepada hubungan peguam dengan anak guamnya," katanya lagi.

Peguam Muhammad Shafee Abdullah - yang turut hadir - tidak setuju dengan Thomas.

"Peguam negara bukan anak guam persendirian," katanya, sambil menambah Najib ada sebab yang absah untuk meminta fiat tersebut kerana ia dokumen awam.

Tiada keputusan dibuat hari ini. Pendengaran bersambung esok.

Perbicaraan SRC pada mulanya dijadual bermula 12 Februari tetapi ditangguhkan selepas Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Najib untuk menangguhkannya sementara rayuan diputuskan.

Lihat Komen