Pengiklanan

    Himpunan Hari Wanita, Sabtu lalu tiada permit, kata Muhyiddin

    (Dikemaskini )

    Tiada permit dikeluarkan oleh pihak berkuasa berhubung penganjuran perhimpunan menuntut hak wanita bersempena Hari Wanita Sedunia berhampiran pusat beli-belah di ibu kota, Sabtu lepas, kata Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Beliau berkata kerajaan menolak keras sebarang tindakan oleh pihak yang menganjurkan himpunan tanpa permit dan melanggar Akta Himpunan Aman 2012.

    “Pihak polis sudah menjalankan siasatan dan mendapati tiada permit dikeluarkan bagi perhimpunan itu. Mana-mana pihak yang ingin mengadakan perhimpunan, mereka mestilah mengikut undang-undang yang ditetapkan.

    “Bagaimanapun, saya dimaklumkan mereka berhimpun tanpa permit sekali gus telah melanggar undang-undang jadi saya serahkan perkara ini pada pihak polis,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen hari ini.

    Sementara itu, Muhyiddin berkata kerajaan sentiasa memantau sebarang penganjuran perhimpunan yang diadakan di negara ini.

    “Kita mempunyai undang-undang dan kita akan bertindak serta bertegas dalam apa pun soalnya, setiap warga Malaysia tidak terkecuali daripada peraturan undang-undang, ini sistem demokrasi, dan kita ada undang-undang jadi mereka harus mematuhinya,” katanya.

    Terdahulu, media melaporkan lebih 1,000 orang dikatakan menyertai perhimpunan haram itu yang didakwa disertai penyokong golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang menuntut penghapusan diskriminasi gender, menghentikan keganasan terhadap wanita dan kesaksamaan gender.

    - Bernama

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih