Pengiklanan

    'Bertaubatlah Umno, PAS'

    (Dikemaskini )
    Howard Lee  |  Berita

    KATA ADUN | Rakyat Malaysia sememangnya masak dengan perangai dan tindakan pemimpin Umno seperti Papagomo dan Jamal Md Yunos.

    Menggunakan keganasan dan ancaman fizikal adalah amalan dan taktik biasa dalam perjuangan mereka.

    Saya sendiri pernah dicekik dan hampir ditumbuk oleh anggota kumpulan kempen Umno sewaktu PRK Kuala Kangsar pada 2016.

    Dengan kata lain, Umno memang sering memilih pendekatan ganas dan ancaman sebagai sebahagian daripada gerakan perjuangan mereka.

    Kini, Umno atas nama penyatuan ummah, bergabung tenaga dengan PAS. Hasrat mereka kononnya untuk menyatukan ummah, tetapi rakyat tahu yang drama politik ini lahir daripada kekalahan mereka pada PRU ke-14.

    Ia bukanlah langkah yang ikhlas sejak awal.

    Inti pati sebenar adalah tamak haloba kepada kuasa politik yang bertopengkan naratif penyatuan ummah yang palsu.

    Selain itu, rakyat juga sedar PAS adalah salah satu parti politik utama di tanah air yang sering membawa budaya takfiri dan asyik dengan amalan kafir-mengkafir golongan yang tidak sehaluan dengan mereka.

    Elak diri dari terpedaya

    Antaranya, parti saya sendirilah yang asyik dilabel sebagai kafir harbi, yakni kafir yang halal diperangi.

    Padahal, tiada siapa boleh menafikan DAP adalah parti majmuk dan dianggotai oleh ramai rakyat Malaysia yang Muslim.

    Kesimpulannya, modus operandi penentangan PAS terhadap pesaing politik mereka adalah dengan bersikap perang.

    Taliban bermadu bersama al-Qaeda di Afghanistan dalam peperangan. Taliban juga menggunakan keganasan sebagai wadah perjuangan mereka, malah diklasifikasikan sebagai sebuah kumpulan militan.

    Afghanistan pada hari ini merupakan sebuah negara gagal yang berpunca dari kegagalan pemerintahan Taliban.

    Sewajarnya kita di Malaysia belajar daripada sejarah dan mengelakkan diri daripada terpedaya dengan nasionalisme dongeng yang hanya diungkit apabila tewas dalam pilihan raya.

    Omong-omong kosong tentang penyatuan ummah didendangkan apabila gagal menjadi penentu kuasa (king maker).

    Apabila Umno dan PAS bergabung, fakta - dan secara logiknya - tidak salah untuk menyamakan mereka dengan Taliban yang sering dikenali sebagai perampas, pencuri dan perompak harta rakyat Afghanistan. Situasi yang sama juga di Malaysia.

    Gambar arkib

    Adakah gabungan itu menjadikan Najib Razak - yang dikenali sebagai pencuri dan perompak ekoran daripada skandal 1MDB - sebagai mursyidul am baru Umno?

    Soalan pokok yang timbul ialah, parti manakah yang menuduh rakyat Malaysia berketurunan bukan Melayu sebagai pendatang?

    Parti manakah yang mengkafirkan palsu dahulu dan mengharbikan DAP?

    Pada saat masyarakat nusantara meraikan semua rakyat jelata sebagai warganegara, atau muwathinun - bak saranan para cendekiawan Nahdhatul Ulama - mempelai politik Umno-PAS pula lupa rakyat Malaysia juga cintakan keamanan.

    Rakyat tidak akan termakan dengan naratif gabungan politik yang terdesak untuk bermain dengan retorik keganasan.

    Yang berniat jahat ialah pihak yang hanya mampu meraih sokongan rakyat melalui fitnah, sikap dan tindakan takfiri, pemikiran serta sifat assobiyah, songlap duit rakyat, menipu dan membohong, serta menghalalkannya - dengan hujah agama - yang terpesong.

    Cukup-cukuplah Umno-PAS. Bertaubatlah.


    HOWARD LEE ialah ketua Pemuda DAP merangkap anggota exco Perak.

    Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih