malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Ahli PAS tak lupa perbuatan Umno dulu, kata Hanipa
Diterbitkan:  Mar 10, 2019 11:23 AM
Dikemaskini: 3:35 AM
ADS

Seorang pemimpin Amanah menanggapi kenyataan PAS bahawa kerjasama mereka dengan Umno sebagai ancaman kepada PH dengan sikap sederhana.

Anggota Jawatankuasa Pusat Amanah Hanipa Maidin berkata pihaknya menerika kerjasama secara rasmi PAS dan Umno dengan sikap terbuka.

"Bagi kami, kerjasama itu macam hadiahkan Audi Q7 daripada somi (suami) kepada isteri. Shukran jazeelan-lah," katanya secara sinis.

Beliau yang juga anggota parlimen Sepang menambah, ketika PH menyedari kerjasama itu boleh memberi kesan, pada masa sama PAS juga akan terkena tempiasnya.

"Di negeri-negeri tertentu itu, permusuhan antara parti ehem (PAS) dan Umno - semua orang tahu - agak ekstrem.

"Ia melahirkan beberapa fenomena lejen seperti isu sembahyang dua imam, tidak mahu memakan sembelihan orang parti lain dan seumpamanya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada waktu sekarang, menurut Hanipa, dengan adanya kerjasama atau sudah 'berkahwin', PAS tersilap apabila menyangka orang parti di bawah boleh melupakan dengan mudah apa yang telah berlaku suatu masa dulu.

Semalam Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata kerjasama di antara PAS dan Umno merupakan ancaman utama kepada kerajaan PH.

Kata bekas pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu berkata kenyataan dibuat pemimpin PH menggambarkan kebimbangan mereka terhadap bersatunya dua parti terbabit.

Menurut Hanipa tidak semua orang PAS menyedari bahawa kerjasama tersebut turut memberi kesan negatif kepada parti berkenaan.

Timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata antara mereka ialah pemimpin PAS yang hanya mula aktif dalam parti selepas bersara atau tidak lagi berkhidmat dengan BN sebelum ini.

"Tapi bagi anggota PAS yang aktif sejak awal dan pernah merasai keperitan menderita dibuli Umno, jangan main-main," katanya.

Lihat Komen