malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pengundian awal PRU Thailand berlangsung di KL hari ini
Diterbitkan:  Mar 9, 2019 11:07 PM
Dikemaskini: 3:07 PM
ADS

GLOBAL | Pilihan raya umum Thailand pada 24 Mac nanti akan membawa negara Asia Tenggara ke arah demokrasi yang lebih matang dan mampan.

Duta Thailand ke Malaysia, Narong Sasitorn berkata, amalan demokrasi di negara itu sejak 1932, akan menjadikan ia lebih mantap serta mengukuhkannya lagi bagi memperkasakan nilai demokrasi.

"Sudah tentu, seperti (negara) lain, selalu terdapat halangan serta kekangan tetapi saya fikir Thailand dan rakyatnya telah menunjukkan mereka sentiasa bersedia melakukan lonjakan ini.

"Thailand mempunyai idea tersendiri tentang cara memupuk demokrasi ke arah lebih mampan dan stabil. Kestabilan juga sangat penting.

"Melihat kepada perkembangan demokratik itu, cabaran sering dilalaui setiap kali berlakunya peralihan sementara tetapi akan kembali semula ke landasan bersama dengan komitmen lebih teguh. Keadaan sama akan dapat dilihat pada pilihan raya umum kali ini."

Sasitorn berkata demikian ketika ditemu bual Perkhidmatan Berita Antarabangsa Bernama pada hari pengundian awal untuk pengundi luar negara di kedutaan Thailand di Malaysia di Kuala Lumpur hari ini Proses pengundian itu bermula dari 8 pagi hingga 5 petang.

Seramai 5,183 rakyat Thailand telah mendaftar sebagai pengundi luar negara di Malaysia.

Proses pengundian awal berlangsung di Johor Bahru, Kuching dan Kota Bharu di unit mudah alih berasingan semalam, dan di Kuala Lumpur serta di pejabat konsulat di Pulau Pinang dan Kuantan hari ini.

68 calon PM Thailand

Keseluruhan seramai 119,184 rakyat Thai yang menetap di luar negara mendaftar sebagai pengundi luar negara dalam pilihan raya yang pertama sejak rampasan kuasa tentera 2014.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Thailand, pengundi di luar negara boleh mengundi dari 4 hingga 16 Mac.

Pumin Bunpa, 25, pekerja sokongan teknologi maklumat yang mengundi di pejabat kedutaan di Kuala Lumpur berkata, sudah lama menanti saat untuk melaksanakan tanggungjawabnya sebagai rakyat Thailand.

"Ini saat yang paling saya nantikan untuk menyatakan hak saya dan memilih pemimpin terbaik mentadbir negara," kata Bunpa yang berasal dari Suratthani dan mengundi buat pertama kali.

Sementara itu Nureda Umar, 26, yang mengundi kali kedua berharap Thailand "baharu" dapat diwujudkan yang membantu rakyat dengan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan dan ekonomi lebih baik.

"Saya mahu melihat penambahbaikan kerana itu saya mengundi dan berharap senario akan berbeza selepas 24 Mac," katanya yang berasal dari Narathiwat.

Pilihan raya umum kali ini menyaksikan seramai 51,419,975 pengundi yang layak, termasuk 7,339,772 pengundi kali pertama.

Pada tahun lepas jumlah penduduk Thailand dianggarkan seramai 66,413,979 orang.

Sejumlah 68 calon akan bertanding merebut jawatan perdana menteri, termasuk Perdana Menteri, Prayut Chan-o-Cha.

- Bernama

Lihat Komen