malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pesalah hina Islam boleh rayu hukuman 10 tahun penjara - Timb menteri
ADS

Seorang lelaki yang dijatuhkan hukuman sepuluh tahun penjara kerana menghina Islam dan Nabi Muhammad SAW boleh merayu sabitan kesalahannya itu, maklum Timbalan Menteri Undang-undang Hanipa Maidin.

"Pesalah yang disabitkan hukuman itu boleh merayu pemenjaraannya jika dia merasakan keputusan tersebut sebagai keterlaluan," kata Hanipa kepada Malaysiakini.

Beliau berkata memandangkan kes itu diputuskan di Mahkamah Sesyen Kuching, Sarawak, pesalah boleh merayu sabitannya di mahkamah tinggi dan permohonan akhirnya di Mahkamah Rayuan.

Terdahulu hari ini Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun memaklumkan mengenai sabitan hukuman berkenaan.

Fuzi berkata pertuduhan terhadap empat individu terbabit yang dibuat semalam kerana memuat naik komen-komen berbentuk penghinaan itu adalah di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 505(c) KK dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998.

Sebab suasana tak harmoni

"Pemilik akaun Facebook AYEA YEA dituduh di Mahkamah Sesyen Kuching, Sarawak di bawah Seksyen 298A KK dan Seksyen 233 AKMM.

"Tertuduh mengaku salah terhadap 10 pertuduhan dan telah dijatuhi hukuman 10 tahun 10 bulan penjara, yang berjalan secara berasingan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Fuzi (gambar) turut difailkan pertuduhan ialah pemilik akaun Twitter @ ALVINCHOW333 yang dituduh di Mahkamah Sesyen Jenayah, Kompleks Mahkamah Jalan Duta di Kuala Lumpur di bawah Seksyen 298A KK, Seksyen 505(c) KK dah Seksyen 233 AKMM.

“Tertuduh tidak mengaku salah bagi lapan pertuduhan yang dibaca. Tiada jaminan ditawarkan dan sebutan semula kes ditetapkan pada 5 April 2019,” katanya.

Beliau berkata pemilik akaun Facebook ‘Danny A’antonio Jr’ pula dituduh di Mahkamah Sesyen Jenayah, Kompleks Mahkamah Jalan Duta di bawah Seksyen 298A KK dan Seksyen 233 AKMM serta mengaku tidak bersalah bagi dua pertuduhan dengan sebutan semula kes ditetapkan pada 5 April.

Dalam pada itu, katanya pemilik akaun Facebook ‘YAZID KONG’ yang dituduh di mahkamah sama mengaku salah dan pendengaran fakta kes serta hukuman akan ditentukan pada 11 Mac ini.

Seksyen 298A KK merupakan kesalahan yang menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci-membenci atau niat jahat atau memudaratkan pemeliharaan keadaan harmoni atau perpaduan, atas alasan agama.

Seksyen 505(c) KK pula berkaitan kenyataan dengan niat mengapikan mana-mana golongan atau kaum melakukan kesalahan terhadap golongan atau kaum lain manakala Seksyen 233 AKMM melibatkan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian, dan lain-lain.

Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty Latheefa Koya berkata hukuman tersebut tidak seimbang dan menggesa semakan semula dilakukan.

Bagaimanapun, Hanipa menegaskan keputusan mahkamah perlu dihormati.

"Tapi semua orang berhak mengeluarkan pendapat mengkritik keputusan itu selagi ia tidak menghina mahkamah," katanya lagi.

[Baca berita asal]

Lihat Komen