malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Penjara 10 tahun pesalah hina Nabi perlu semakan semula - Latheefa
Diterbitkan:  Mar 9, 2019 5:46 PM
Dikemaskini: 9:46 AM
ADS

Peguam Latheefa Koya menggesa dilakukan semakan semula terhadap hukuman penjara 10 tahun yang disabitkan terhadap pemilik akaun media sosial hari ini kerana menghina Islam dan Nabi Muhammad SAW.

Beliau berkata hukuman itu yang diputuskan Mahkamah Sesyen Kuching, Sarawak hari ini 'tidak seimbang dengan kesalahan' dan boleh ditanggapi sebagai melanggar kedaulatan undang-undang.

"Terkejut dan tidak pernah terjadi mahkamah menjatuhkan hukuman sepuluh tahun penjara terhadap kesalahan sebegini.

"Dia (yang disabitkan pertuduhan itu) telah mengaku bersalah, (suatu hal) yang perlu diambil kita. Sepuluh tahun berturut-turut tidak seimbang dan perlu disemak semula.

"Ini melanggar kedaulatan undang-undang," kata pengarah eksekutif Lawyers for Liberty itu pada ciapan di Twitter hari ini.

Latheefa mengulas kenyataan yang dikeluarkan Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun hari ini yang memaklumkan mengenai sabitan hukuman berkenaan.

Fuzi berkata pertuduhan terhadap empat individu terbabit yang dibuat semalam kerana memuat naik komen-komen berbentuk penghinaan itu adalah di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 505(c) KK dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998.

"Pemilik akaun Facebook AYEA YEA dituduh di Mahkamah Sesyen Kuching, Sarawak di bawah Seksyen 298A KK dan Seksyen 233 AKMM.

"Tertuduh mengaku salah terhadap 10 pertuduhan dan telah dijatuhi hukuman 10 tahun 10 bulan penjara, yang berjalan secara berasingan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebab suasana tak harmoni

Menurutnya turut difailkan pertuduhan ialah pemilik akaun Twitter @ ALVINCHOW333 yang dituduh di Mahkamah Sesyen Jenayah, Kompleks Mahkamah Jalan Duta di Kuala Lumpur di bawah Seksyen 298A KK, Seksyen 505(c) KK dah Seksyen 233 AKMM.

“Tertuduh tidak mengaku salah bagi lapan pertuduhan yang dibaca. Tiada jaminan ditawarkan dan sebutan semula kes ditetapkan pada 5 April 2019,” katanya.

Beliau berkata pemilik akaun Facebook ‘Danny A’antonio Jr’ pula dituduh di Mahkamah Sesyen Jenayah, Kompleks Mahkamah Jalan Duta di bawah Seksyen 298A KK dan Seksyen 233 AKMM serta mengaku tidak bersalah bagi dua pertuduhan dengan sebutan semula kes ditetapkan pada 5 April.

Dalam pada itu, katanya pemilik akaun Facebook ‘YAZID KONG’ yang dituduh di mahkamah sama mengaku salah dan pendengaran fakta kes serta hukuman akan ditentukan pada 11 Mac ini.

Seksyen 298A KK merupakan kesalahan yang menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci-membenci atau niat jahat atau memudaratkan pemeliharaan keadaan harmoni atau perpaduan, atas alasan agama.

Seksyen 505(c) KK pula berkaitan kenyataan dengan niat mengapikan mana-mana golongan atau kaum melakukan kesalahan terhadap golongan atau kaum lain manakala Seksyen 233 AKMM melibatkan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian, dan lain-lain.

Unit pemantau Jakim

Terdahulu, pada 7 Mac lalu, Menteri Hal Ehwal Agama Mujahid Yusof Rawa mengumumkan pembentukan unit khas untuk memantau kes-kes penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW dan Islam.

Katanya penubuhan unit itu diselia Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang mengawasi semua media termasuk media sosial.

“Saya juga sudah meminta unit pemantau ini menerima sebarang aduan berkaitan penghinaan Nabi Muhammad SAW dan agama Islam, seterusnya dengan segera membuat laporan polis serta kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat atau aduan, sila WhatsApp segera ke talian hotline 010-3005260 atau e-mel kepada [email protected],” katanya.

Penubuhan unit khas itu selepas penangkapan suspek menghina Islam di dalam talian dengan polis membuka kertas siasatan terhadap 16 kes daripada 929 laporan polis yang dibuat di seluruh negara.

Lihat Komen