malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Hadi: Kalau PAS ada RM900j pun tak pelik
Diterbitkan:  Mar 8, 2019 10:51 AM
Dikemaskini: 10:51 AM
ADS

Presiden PAS Abdul Hadi Awang menegaskan bahawa bukanlah sesuatu yang pelik jika PAS mampu mengumpul dana kewangan sehingga RM90 juta.

Bahkan katanya, dengan PAS kini mempunyai lebih sejuta ahli seluruh negara, bukanlah sesuatu yang pelik jika parti itu mempunyai dana RM900 juta sekalipun.

“Kita telah menghadapi satu fitnah. Fitnahnya ialah kita terima duit banyak. Tak ada duit pun tak boleh, banyak duit pun tak boleh. Dia nak kita ini ‘mati kering’.

“Alhamdulillah, Allah Taala beri rezeki kepada kita. Rezeki yang halal, bukan rezeki yang haram. Kekuatan kita makin bertambah, pengikut-pengikut kita makin bertambah, ramai.

“Ahli PAS sekarang ini satu juta lebih, dan kalau RM100 seorang sudah RM100 juta. Pelik apa dengan RM90 jutanya? (Kalau) RM900 juta pun tidak pelik,” ujarnya seperti dipetik Harakahdaily.

Beliau dilaporkan berkata demikian dalam ucapan ringkas sempena Munajat dan Solat Hajat Perdana Peringkat Negeri Terengganu, ‘Isu Fitnah Terhadap PAS’ di Masjid Rusila, malam tadi.

Tambah anggota parlimen Marang itu lagi, pendapatan PAS adalah daripada sumbangan ikhlas anggotanya yang percaya pada janji pahala bagi golongan yang membantu perjuangan Islam.

“Mereka hairan mengapa kita boleh bertanding kerusi dengan begitu banyak, peduli apa itu hal kita. Ikut pandai kitalah, jadi orang susah dengan hal kita.

“Kita pandailah cari, yang penting ialah pendapatan yang halal dan sumbangan yang ikhlas daripada pengikut-pengikut kita dari pelbagai peringkat, yang percaya janji (Allah) adanya pahala menolong perjuangan Islam ini.

“Apa sahaja sumbangan kita untuk kerja Islam akan adanya pahala dari Allah Ta’ala. Ini yang kita yakin dalam diri kita,” katanya lagi.

Semalam, Pengerusi Amanah Perak Asmuni Awi yang juga merupakan bekas bendahari PAS mempersoalkan bagaimana PAS mampu menganjurkan program yang menurutnya menelan kos jutaan ringgit tanpa perlu "mengusik" duit daripada akaun parti.

Melalui Facebook, Asmuni berkata dia berasa "pelik" dari mana PAS mendapat duit bagi menganjurkan projek berskala besar tanpa meminta pembiayaan daripadanya selaku bendahari PAS ketika itu.

Lihat Komen