malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Khaled: Beli Legoland cadangan tak matang, mengarut
Diterbitkan:  Mar 8, 2019 5:46 PM
Dikemaskini: 9:46 AM
ADS

Bekas menteri besar Johor Mohamed Khaled Nordin menyifatkan cadangan agar kerajaan negeri itu mengambil alih Taman Tema Legoland sebagai tidak matang dan mengarut.

Beliau mengulas cadangan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan Dan Utiliti Negeri Johor Jimmy Puah berhubung perkara itu.

Khaled berkata kerajaan negeri sepatutnya fokus kepada perkembangan ekonomi negeri melalui kerjasama sektor swasta, dan mengurangkan penglibatan secara langsung dalam perniagaan.

“Mampukah kerajaan negeri menguruskan Legoland lebih baik daripada Khazanah Nasional (pemilik Legolad?)

“Selepas 10 bulan mentadbir Johor, tiada tiada polisi ekonomi yang ampuh direncanakan kerajaan negeri.

“Mereka sepatutnya fokus membangunkan inisiatif ekonomi baru bagi Johor dan bukan kepada cubaan tidak matang, tidak produktif dan mengarut untuk membeli Legoland,” katanya dalam kenyataan.

Pada 5 Mac lalu, laman Bloomberg yang memetik sumber melaporkan Khazanah sedang mempertimbangkan cadangan untuk menjual Legoland Malaysia Resort yang dianggarkan bernilai RM1 bilion termasuk hutang yang dimiliki.

Menurut laporan itu, harga jualan yang ditetapkana dalah sekitar RM1 bilion termasuk hutang.

Susulan itu Pengarah Urusan Khazanah Nasional Shahril Ridza Ridzuan berkata pihaknya belum berbincang dengan mana-mana pihak berhubung perkara itu.

Bagaimanapun Khaled mencadangkan kerajaan Johor melihat prestasi kewangannya dan telus terhadap analisis harga pasaran Legoland, jika serius dengan cadangan itu.

"Mampukah kerajaan negeri mencukupkan duit untuk membeli Legoland tanpa membebankan lagi kewangan?”

Untuk membeli Legoland, katanya lagi, kerajaan perlu menentukan banyak perkara termasuk model kewangan untuk memaksimumkan keuntungan dan kaedah menyelesaikan hutang yang ditanggung taman tema itu.

Lihat Komen