malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Nasrudin, Mokhtar Senik beri keterangan di SPRM
Diterbitkan:  Mar 8, 2019 2:35 PM
Dikemaskini: 6:35 AM
ADS

Dua pemimpin PAS Pahang hadir di Kompleks Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang hari ini dipercayai bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penerimaan dana oleh PAS bernilai RM90 juta daripada Umno.

Ketua Dewan Ulama PAS Negeri, Mokhtar Senik tiba di perkarangan kompleks pada 9.50 pagi dan disusuli oleh Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasarudin Hassan Tantawi tiba kira-kira 30 minit kemudian pada 10.25 pagi.

Kedua-dua mereka dilihat keluar dari pejabat itu kira-kira dua jam setengah kemudian.

Mokhtar yang ditemui pemberita mengesahkan kehadirannya adalah untuk membantu siasatan berhubung dakwaan penerimaan dana itu dan dakwaan memiliki kenderaan mewah.

“Saya telah memberi kerjasama kepada pegawai SPRM yang pihak SPRM telah merakamkan percakapan saya tetapi tiada apa-apa dokumen yang diminta.

“Saya juga telah menjawab segala soalan berkaitan pengisytiharan pemilikan kenderaan. Saya hanya memiliki sebuah sahaja kereta iaitu jenis Toyota Fortuner dan semua soalan yang berkaitan bagi membantu siasatan,” katanya.

Mokhtar berkata SPRM juga bertanyakan mengenai penerimaan dana seperti yang didakwa tetapi beliau tidak mempunyai sebarang maklumat berkaitan dakwaan berkenaan.

“Saya telah menjelaskan itu (dakwaan penerimaan dana) adalah satu fitnah dan hanya sekadar tomahan terhadap PAS.

“Bagi saya pihak yang mengemukakan dakwaan itu, mereka seharusnya memberi bukti dan membuat dakwaan secara rasmi kerana jika hanya dakwaan di media untuk mencetus persepsi politk semata-mata, saya kira ini satu tindakan yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Setakat ini SPRM telah memanggil beberapa individu untuk memberi keterangan berhubung siasatan termasuklah Anggota Parlimen Bachok Nik Muhammad Abduh Nik Abdul Aziz, bekas Timbalan Presiden PAS, Dr Nasharudin Mat Isa dan Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Husam Musa.

Pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown dalam artikelnya pada 6 Ogos 2016 telah mendakwa ada pemimpin tertinggi PAS mungkin menerima dana RM90 juta untuk mendorong parti itu bekerjasama dengan Umno dan Barisan Nasional.

Isu itu timbul semula selepas Presiden PAS, Abdul Hadi Awang membuat keputusan memuktamadkan penyelesaian luar mahkamah dengan menarik balik tuntutan terhadap Rewcastle Brown berhubung artikel berkenaan pada 1 Feb lepas.

Pada 24 Februari lepas, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Mohd Shukri Abdull dilaporkan berkata pihaknya setakat ini tidak mengesan sebarang transaksi dana RM90 juta dimasukkan ke dalam akaun bank PAS.

- Bernama

Lihat Komen