Kerajaan negeri hari ini membenarkan semua penduduk yang diusir dari rumah mereka di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Manggis di Georgetown, kembali mendiami kediaman masing-masing.
Exco Pembangunan Desa, Kesihatan, Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Dr Afif Bahardin, berkata mereka bagaimanapun hanya dibenarkan mendiami unit berkenaan selama tiga hari, bermula hari ini.
Katanya, keputusan berkenaan dimuktamadkan selepas mengadakan perbincangan bersama Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo dan Pejabat Perumahan kerajaan negeri.
“Kita masih belum ada keputusan sama ada mereka perlu keluar semula daripada unit masing-masing selepas tempoh kebenaran tamat, iaitu pada Ahad ini.
“Pada masa sama, kita sedang berbincang mengenai pelan tindakan lanjut yang perlu diambil bagi mengatasi masalah ini,” katanya yang dipetik oleh portal Berita Harian Online.
Beberapa keluarga daripada 22 penghuni yang kehilangan kelayakan mereka untuk menyewa rumah PPR di Jalan Burma menentang pengusiran mereka pada 6 Mac lalu.
Mereka juga mengadakan tunjuk perasaan di bangunan Komtar, menyasarkan pejabat kerajaan Pulau Pinang di Georgetown sambil berteduh di situ.
Selain itu ada juga yang menumpang di surau ekoran arahan pengusiran dikeluarkan kerajaan Pulau Pinang.