malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Permohonan pendakwaan pindah kes Najib didengar 14 Mac
Diterbitkan:  Mar 8, 2019 11:50 AM
Dikemaskini: 3:50 AM
ADS

Permohonan pihak pendakwaan untuk memindahkan kes bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan didengar di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur pada 14 Mac ini.

Timbalan Pendakwa Raya Rozaliana Zakaria ketika ditemui pemberita berkata tarikh berkenaan ditetapkan Timbalan Pendaftar Mahyuddin Mohmad Som ketika pengurusan kes di dalam kamarnya hari ini dengan dihadiri peguam yang mewakili anggota Parlimen Pekan itu, Syahirah Hanapiah.

"Permohonan itu akan didengar di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali pada pukul 9 pagi," kata Rozaliana yang juga memaklumkan tiada sebarang bantahan daripada pihak responden (Najib) berhubung permohonan berkenaan dan perkara itu turut disahkan Syahirah.

Rozaliana berkata pihak pendakwaan memfailkan notis permohonan untuk memindahkan kes itu daripada Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi pada 28 Feb lepas mengikut Seksyen 417 Kanun Tatacara Jenayah.

Katanya, permohonan itu hanya membabitkan Najib dan pihaknya masih belum menerima sebarang arahan untuk memindahkan kes dihadapi bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy, yang didakwa bersubahat dengan Najib membabitkan isu sama, ke Mahkamah Tinggi.

Pada 12 Dis 2018, Najib didakwa atas pertuduhan menggunakan jawatannya dengan mengarahkan supaya Laporan Akhir Pengauditan 1MDB dipinda, sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam Negara (PAC), bagi mengelakkan sebarang tindakan terhadapnya.

Dia dituduh sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Perdana Menteri Malaysia, menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan bagi dirinya, iaitu perlindungan daripada tindakan yang bersifat tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB, dengan cara mengambil tindakan mengarahkan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB, yang sedang disediakan, dipinda sebelum laporan itu dimuktamadkan dan dibentangkan kepada PAC, yang tertuduh secara langsung mempunyai kepentingan.

Anggota Parlimen Pekan itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya, antara 22 Feb 2016 dan 26 Feb 2016.

Pertuduhan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Arul Kanda, 43, pula didakwa bersubahat dengan Najib, 66, meminda laporan tersebut, bagi melindungi Anggota Parlimen Pekan itu daripada dikenakan tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB, di tempat dan masa sama mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009 dibaca bersama Seksyen 23 (1) & 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman serupa, jika sabit kesalahan.

Pada 4 Jan, 2019, Mahkamah Sesyen di sini membenarkan permohonan pendakwaan supaya kes Najib dam Arul Kanda dibicarakan bersama.

- Bernama

Lihat Komen