malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Clare cabar Hadi dedah syarat sulit selesai saman
ADS

Editor Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown mencabar Presiden PAS Abdul Hadi Awang untuk mendedahkan syarat-syarat sulit terhadap penyelesaian kes saman fitnah di luar mahkamah pada awal Februari lalu.

Ini selepas Hadi menafikan membayar RM1.4 juta kepada Clare, untuk menyelesaikan saman fitnah terhadap editor Sarawak Report itu.

"Kalau beliau kata ia bukan syarat-syarat perjanjian sulit yang disebut oleh perintah mahkamah maka beliau perlu menunjukkan dan mengatakan syarat-syarat penyelesaian sulit (versi Abdul Hadi) itu.

"Beliau tidak boleh sekadar menafikannya. Sekiranya terdapat istilah sulit tapi  bukan untuk membayar saya, jadi kalau begitu apa yang beliau fahami mengenai hal itu?" Kata Rewcastle-Brown kepada Malaysiakini malam tadi.

Selanjutnya, Clare menjelaskan memiliki dokumen untuk membuktikan beliau telah dibayar RM1.4 juta, dan yakin ia dibayar bagi pihak Hadi dan PAS.

Semalam, Hadi berkata beliau atau PAS tidak pernah melunaskan sebarang bayaran kepada Rewcastle-Brown, kerana pihaknya tidak mempunyai wang yang banyak untuk membuat pembayaran.

Pembayaran dibuat perantara

Hadi juga mendakwa bahawa "beberapa pihak" telah menghubungi beliau sebelum PRU14 untuk menyelesaikan saman berkenaan, tetapi beliau enggan melakukannya pada masa itu kerana faktor pilihan raya.

Editor Sarawak Report sebelum ini mengatakan pembayaran dibuat oleh perantara dan malam tadi mengesahkan orangnya ialah Pengerusi KTMB Rameli Musa.

Clare berkata beliau tidak ragu-ragu bahawa Rameli bertindak bagi pihak Hadi dan PAS.

Hal ini, katanya kerana Rameli perlu sentiasa berhubung untuk mendapat kebenaran daripada PAS dan Hadi selepas menolak tawaran awal parti itu untuk membayar GB£100,000 untuk menyelesaikan saman itu.

"Dia terpaksa balik untuk bertanya kepada mereka, dan dia beberapa kali berbuat begitu (meminta kebenaran Hadi dan PAS) sehinggalah akhirnya kami sampai pada jumlah yang saya dapati cukup untuk membayar peguam saya tanpa kehilangan terlalu banyak wang untuk kes ini.

"Adalah jelas bahawa Hadi dirundingkan pada setiap masa dan (begitu juga) orang-orang di sekelilingnya," kata Clare.

Beliau menjelaskan peguam Hadi di London juga telah menerima pembayaran sulit itu kerana mereka perlu membuat perjanjian penyelesaian untuk mahkamah.

Sementara itu, Rewcastle-Brown juga mempersoalkan status kewangan PAS.

Semalam Hadi berkata PAS hanyalah sebuah parti miskin yang menerima sumbangan derma daripada orang ramai dan tidak mempunyai dana untuk membayar Clare seperti didakwa.

Malah, katanya PAS terpaksa meminjam untuk membayar deposit calon pada PRU14 lalu.

Bagaimanapun, Rewcastle-Brown memetik kenyataan oleh AJK PAS Pusat Dr Zuhdi Marzuki pada April lalu, mendakwa parti itu menerima derma berjumlah RM2.5 juta daripada individu.

"Jadi, adakah itu pinjaman yang perlu mereka bayar balik atau adakah ia derma penyokong parti yang baik?

"Apa yang kita tahu ialah wang itu mengalir untuk membayar deposit kerusi dan banyak wang (deposit) itu sekarang akan didapatkan kembali," katanya.

Sarawak Report mendakwa RM2.5 juta yang digunakan untuk membayar deposit calon sebenarnya berasal dari Umno - suatu dakwaan yang dinafikan PAS.

[Baca berita asal]

Lihat Komen