malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Dana RM90 juta: Khalil pula beri keterangan pada SPRM
Diterbitkan:  Mar 6, 2019 11:05 PM
Dikemaskini: 3:25 PM
ADS

Ketua Pemuda PAS Muhammad Khalil Abdul Hadi hadir ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya hari ini bagi memberi keterangan berhubung dakwaan penerimaan wang RM90 juta daripada Umno.

Perkara itu dimaklumkan oleh Penolong Setiausaha II (Diplomatik dan Hubungan Luar) Pemuda PAS Muhd Khidhir Izaidin dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau yang mengiringi Khalil ke ibu pejabat SPRM berkata adun Batu Buruk itu disoal siasat selama lebih satu jam.

"Kami sentiasa beri kerjasama sepenuhnya dengan keterangan yang jujur atas fitnah yang diajukan kepada Khalil," katanya.

Khidhir berkata antara tuduhan terhadap Khalil adalah beliau memiliki sebuah motosikal berkuasa tinggi yang dibeli menggunakan wang daripada dana RM90 juta itu.

"Ia tetap berterusan walau sudah disangkal beberapa kali. Maka Setiausaha Pemuda PAS Afnan Hamimi Taib Azamudden tampil membuat pengakuan bahawa motosikal itu miliknya.

"Afnan bukan saja pendakwah bebas, beliau juga seorang pengusaha stesen minyak yang telah beroperasi lebih 12 tahun," katanya lagi.

Beliau merujuk hantaran FB Afnan semalam yang berkata motosikal itu miliknya dan langsung tiada kaitan dengan Khalil.

Hantaran itu turut menyertakan gambar Afnan bersama Khalil yang sedang menunggang motosikal tersebut.

 SPRM melancarkan siasatan berhubung dakwaan itu selepas Presiden PAS Abdul Hadi Awang menarik balik samannya terhadap Clare Rewcastle Brown berhubung artikel di Sarawak Report yang mendakwa Umno membayar RM90 juta kepada beberapa pemimpin PAS untuk mendapatkan sokongan mereka.

Antara pemimpin PAS yang sudah dipanggil SPRM untuk memberi keterangan adalah Murshidul Am PAS Hashim Jasin, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan, Anggota jawatankuasa pusat Nik Abduh Nik Abdul Aziz, dan bekas timbalan presiden parti itu, Nasharudin Mat Isa.

Siasatan adalah mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Bagaimanapun, pemimpin PAS menafikan semua tuduhan itu.

Lihat Komen