malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
K'jaan digesa tangani cadangan EU larang minyak sawit
ADS

Felda, Felcra, Risda dan Persatuan Kebangsaan Pekebun-Pekebun Kecil Malaysia menggesa kerajaan menghentikan semua rundingan dagang dengan kerajaan Eropah sementara menunggu resolusi cadangan Kesatuan Eropah (EU) untuk melarang penggunaan minyak sawit sebagai bahan bakar bio menjelang 2020.

Pengerusi Felcra Bhd Nageeb Ahmad berkata keputusan itu dicapai ketika pertemuan pertama tiga agensi kerajaan dan persatuan pekebun kecil itu.

"Pertama sekali (kerajaan) kini sedang merundingkan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dengan Kesatuan Eropah. 

"Jadi kami menggesa kerajaan untuk menggantung sementara rundingan itu sehingga isu larangan minyak kelapa sawit diselesaikan.

"Perkara kedua yang kita minta kepada kerajaan adalah untuk menghentikan semua rundingan mengenai apa-apa kontrak atau urusan perniagaan dengan Eropah setakat ini, sehinggalah keputusan dibuat (EU) mengenai larangan minyak kelapa sawit," katanya ketika sidang akhbar di pejabat Felcra di Kuala Lumpur hari ini.

Nageeb (gambar) berkata gesaan ini dibuat selepas usaha kerajaan untuk meyakinkan EU mengenai dakwaan kemapanan minyak sawit Malaysia dan kesan perladangan kelapa sawit terhadap alam sekitar kelihatan tidak mendapat maklum balas sewajarnya.

"Jadi satu-satunya cara untuk mendekati perkara ini sekarang adalah dengan cara politik dan ekonomi. Kita perlu agresif, kita perlu menyerang.

"Kita (Malaysia) sangat diplomatik, terlalu berlemah-lembut, kita terlalu baik ketika berurusan mengenai perkara ini. Cukup-cukuplah," tegasnya.

Peduli hutan tapi tak peduli nasib peneroka

Ditanya mengenai permintaan minyak kelapa sawit dari Eropah, Nageeb berkata ia mencecah kira-kira 7.5 juta metrik tan tahun lepas dan Malaysia berpotensi kehilangan pendapatan kira-kira 40 peratus atau kira-kira tiga juta tan export minyak sawit yang digunakan sebagai bahan bakar bio.

Malaysia dan Indonesia kini berada di kedudukan sebagai pengeluar minyak kelapa sawit terbesar di dunia, kira-kira 85 peratus daripada jumlah anggaran 70 juta tan yang dihasilkan di seluruh dunia.

Sementara itu, Nageeb berkata tiga agensi persekutuan dan persatuan pekebun itu juga bersetuju untuk mengemukakan petisyen bersama kepada delegasi Kesatuan Eropah di Malaysia, yang akan memaparkan kesan larangan minyak kelapa sawit kepada pekebun kecil dan keluarga mereka.

Menurut Nageeb, EU prihatin dengan nasib haiwan terancam Orang Utan yang didakwa pupus akibat penebangan hutan tetapi tidak mempedulikan penderitaan peneroka, pekebun kecil Malaysia dan keluarga mereka.

Suruhanjaya Eropah bulan lepas mengatakan penggunaan minyak kelapa sawit dalam bahan bakar bio perlu dihentikan kerana penanaman kelapa sawit menyebabkan kemusnahan hutan.

Langkah EU itu merupakan sebahagian daripada matlamat menangani masalah perubahan iklim.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen