malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Tak timbul isu undi tak percaya kepada PM, kata Azmin
ADS

Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali menegaskan tidak timbul isu undi tidak percaya untuk menjatuhkan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, seperti yang didakwa PAS sebelum ini.

Beliau berkata kini masa untuk memberi sokongan padu kepada Mahathir selaku pemimpin tertinggi kerajaan persekutuan.

"Tidak timbul (undi tidak percaya) kerana rakyat memberikan mandat cukup besar setelah 60 tahun merdeka. Ini kali pertama rakyat berani buat perubahan.

"Dan kita harus dukung aspirasi rakyat yang mahu kerajaan PH ini stabil, dapat memperkukuh ekonomi dan memulihkan sistem kenegaraan yang telah rosak sejak beberapa tahun lalu," katanya kepada pemberita selepas pertemuan dengan pimpinan PKR Kelantan, di Kota Bharu hari ini.

Isu undi tidak percaya pada mulanya dibangkitkan Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan ketika menjelaskan pengisytiharan sokongan parti itu kepada kepimpinan Mahathir.

Takiyuddin berkata PAS mengemukakan draf ikrar sokongan 18 ahli parlimennya dalam pertemuan dengan Mahathir bulan lalu.

Beberapa pemimpin utama PH menafikan perkara itu.

Ketua Pemuda PAS Muhammad Khalil Abdul Hadi pula mendakwa Anwar Ibrahim menjadi dalang usaha undi tidak percaya itu, yang kemudiannya dinafikan presiden PKR itu.

'Kelantan tak diabaikan'

Dalam perkembangan lain, Azmin yang juga menteri hal ehwal ekonomi berkata kerajaan persekutuan akan menyegerakan projek pembangunan di Kelantan yang telah diluluskan sebelum ini.

"Kerajaan pusat akan melaksanakan pembangunan di Kelantan untuk menarik pelabur datang. Kedatangan pelabur ini akan mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat Kelantan.

"Ini adalah dasar baru kerajaan persekutuan yang diterajui PH untuk tidak menganaktirikan mana-mana negeri termasuk Kelantan," katanya yang merupakan pengerusi Majlis Tindakan Ekonomi Negeri (MTNg) Kelantan.

Lihat Komen