malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Kes kehilangan Nur Aisyah: Polis hanya temui tengkorak, cebisan rambut
Diterbitkan:  Mar 6, 2019 6:08 PM
Dikemaskini: 10:12 AM
ADS

Polis hanya menemui tengkorak dan sedikit cebisan rambut Nur Aisyah Aleya Abdullah, 3, kanak-kanak perempuan yang dilaporkan hilang oleh ibu kandungnya Ahad lepas.

Tengkorak dan cebisan mayat kanak-kanak yang dipercayai dibunuh itu ditemui hari ini dalam sebuah gaung di Gunung Raya di Langkawi di lokasi yang terletak kira-kira sembilan meter dari jalan raya.

Seorang suspek lelaki berusia 37 tahun yang ditahan berkaitan kes kehilangan kanak-kanak perempuan itu telah membawa polis ke lokasi di mana mayatnya dikatakan dibuang.

“Tiada bahagian anggota lain ditemukan berkemungkinan dimakan atau dibawa lari binatang buas, atau dipercayai telah mereput. Hasil soal siasat mendapati kanak-kanak itu telah meninggal dunia sejak 16 Februari lepas.

“Mayat lengkap memang tak ada dah, cuma tinggal bahagian kepala sahaja," kata Ketua Polis Daerah Langkawi Supt Mohd Iqbal Ibrahim kepada pemberita di lokasi cebisan mayat itu ditemui di Langkawi hari ini.

Mohd Iqbal berkata menurut pasangan suspek yang ditahan itu, kanak-kanak itu telah mengalami sawan semasa berada di rumah mereka di Langkawi sebelum berlaku sedikit pertengkaran antara mereka dalam tempoh itu.

“Pasangan itu memberitahu bahawa ketika pertengkaran, suspek lelaki itu bertindak luar jangka. Dalam situasi nak pujuk kanak-kanak itu, dia telah tepuk beberapa kali kanak-kanak itu dan seterusnya (kanak-kanak itu) tidak sedarkan diri.

"Suspek lelaki seterusnya membawa mayat kanak-kanak itu ke kaki Gunung Raya ini untuk dibuang. Suspek memberitahu dia memasukkan mayat kanak-kanak itu di dalam sebuah beg kemudian dibawa menggunakan kereta ke lokasi ini sebelum dikeluarkan dan diletakkan di dalam gaung kira-kira sembilan meter (kira-kira 32 kaki) dari kedudukan jalan raya,” katanya.

Beliau berkata cebisan mayat itu ditemui pada kedudukan berbeza daripada yang dikatakan lelaki itu.

Ujian DNA

Mohd Iqbal berkata beg yang digunakan untuk mengisi mayat kanak-kanak itu dipercayai telah dibuang di lokasi lain dan polis akan menyiasat lokasi tempat beg itu dikatakan dibuang.

Beliau berkata ibu kanak-kanak itu, seorang warganegara Indonesia, akan dipanggil untuk menjalani ujian DNA.

Sementara itu, polis membawa suspek lelaki berusia 37 tahun itu ke rumahnya di sini pada kira-kira 1.45 tengah hari untuk siasatan lanjut, manakala isterinya dibawa ke lokasi sama kurang 10 minit kemudian. Mereka berada di rumah itu lebih dua jam.

Nur Aisyah Aleya dilaporkan hilang Ahad lepas ketika di bawah jagaan pasangan terbabit setelah ibu kanak-kanak itu, Rosmaliah Samo, mendapati anaknya tiada di rumah pasangan terbabit.

Wanita itu yang ke rumah mereka untuk mencari anaknya minggu lepas diberitahu oleh seorang daripada suspek bahawa kanak-kanak itu telah diserahkan kepada pihak ketika untuk dijaga.

Berikutan itu, polis melancarkan gerakan memburu pasangan berusia 37 dan 40 tahun itu dan mereka ditahan di Ampang, Kuala Lumpur petang semalam sebelum dibawa ke Langkawi pagi ini untuk siasatan.

- Bernama

Lihat Komen