BERITA

‘Obligasi mandatori PAS menangkan Umno di Rantau’

6 Mar 2019, 9:20 am

Dikemaskini setahun lepas

A
+
A
-

PAS akan menggabungkan jenteranya dengan jentera Umno bagi menghadapi PRK DUN Rantau yang akan berlangsung 13 April ini.

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata ia bagi memastikan kempen kedua-dua parti berjalan lancar dan berkesan.

"PAS akan memastikan calon Umno memenangi dan mengekalkan kerusi DUN Rantau.

"Perkara ini merupakan obligasi mandatori PAS selaras dengan ta'awun siyasi yang telah dimeterai oleh PAS dan Umno pada semalam," katanya dalam kenyataan.

Semalam PAS dan Umno secara rasmi memeterai kerjasama, atau menurut kata-kata pemangku Presiden Umno Mohamad Hassan - bersanding.

Kedua-dua parti juga setuju untuk menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi membincangkan butiran kerjasama mereka.

Dalam pada itu, Takiyuddin berkata pihaknya yakin Mohamad akan kekal sebagai calon dan diberi mandat oleh pengundi di Rantau.

"Ini berdasarkan rekod perkhidmatan beliau yang cemerlang, bukan saja kepada DUN Rantau, malah seluruh rakyat Negeri Sembilan," katanya lagi.

Mohamad diumum menang tanpa bertanding pada PRU lalu selepas pegawai pengurus pilihan raya melarang pencabarnya - Dr S Streram daripada PKR - memasuki dewan penamaan bagi menyerahkan borang.

Bagaimanapun mahkamah pilihan raya pada Nov lalu memutuskan kemenangan itu tidak sah dan terbatal, serta mengarahkan pilihan raya diadakan semula.

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.