malaysiakini logo
story-image
ADS

ULASAN | Kebiasaan dalam kalangan masyarakat muslim, apabila disebut kafir, difahami bahawa ia merujuk kepada seseorang bukan Muslim ataupun golongan yang terkeluar dari Islam.

Mereka ialah penganut Hindu, Buddha, Kristian, ateis, murtad dan sebagainya.

Namun begitu, baru-baru ini sebuah organisasi Islam tertua dunia, Nahdhatul Ulama (NU) di Indonesia mengeluarkan satu kenyataan yang menggembarkan wacana umat Islam di dunia.

NU mencadangkan agar warga bukan Muslim di Indonesia tidak lagi dipanggil sebagai kafir.

Cadangan tersebut mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan ilmuwan Islam di sana. Walaupun ada yang bersetuju, tidak sedikit juga yang tidak bersetuju.

Malah, ada sebilangan daripada mereka mempertikaikannya dan menuduh bahawa pendekatan NU itu akan memberi kesan perubahan pada ayat al-Quran.

Apa yang dicadangkan oleh NU itu bukan sesuatu yang baru. Pada 2004, ia pernah dibangkitkan oleh seorang ulama terkemuka dunia, Dr Yusuf al-Qaradawi menerusi tulisan beliau yang bertajuk Khitabuna al-Islam fi ‘Asr al-‘ulamah.

Di Malaysia, wacana sebegini boleh dianggap belum dimulakan. Kalau ada pun, ia sekadar wacana tertutup, tanpa melibatkan orang awam.

Namun begitu, dengan cadangan NU itu sedikit sebanyak ia melahirkan perbincangan yang menarik dalam kalangan warganegara Malaysia. Apatah lagi, Malaysia boleh dikatakan antara negara yang mempunyai penduduk yang agak rencam – bukan dari sudut anutan agama sahaja, malah dari sudut keturunan, kaum dan budayanya.

Petani pun 'kafir'

Bagaimanapun, wacana berkenaan isu ini perlu dilihat pada beberapa perkara mendasar iaitu dari sudut pemaknaan kafir dalam teks Islam, dan dari sudut dakwah.

Pertama: Pemaknaan “kafir” dari teks Islam

Kafir ialah ungkapan bahasa Arab – diterjemah sebagai ingkar. Dari sudut akar kata, ia bermaksud menutup (Arab: al-Satr). Dengan sebab itu, dalam bahasa Arab, petani disebut sebagai kafir. Hal itu kerana, semasa menanam petani terbabit menutup benih dengan menggunakan tanah.

Penggunaan kalimah kafir yang memberi makna petani ini dinyatakan dalam al-Quran: “Ketahuilah, bahawa sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah permainan dan suatu yang melalaikan, perhiasan dan bermegah-megah antara kamu serta berbangga-banggaan tentang banyaknya harta dan anak, seperti hujan yang tanam-tanamannya mengagumkan kafir (para petani).” - ayat 20, surah al-Hadid.

Al-Quran juga menyebut bahawa kata "kafir" itu merujuk kepada orang yang tidak mensyukuri nikmat yang telah diberikan Tuhan, walhal tidak mensyukuri nikmat Tuhan itu bukan sekadar berlaku kepada non-Muslim, malah berlaku juga dalam kalangan Muslim.

Firman Allah: “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu kufuri (iaitu tidak mensyukuri nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih.” - ayat 7, surah Ibrahim.

Dari sudut makna yang lain, kalimah kufur dalam al-Quran juga memberi makna tidak menunaikan kewajiban yang dibebankan kepada manusia.

Antaranya, al-Quran menggunakan kata kufur untuk merujuk kepada Muslim yang tidak menunaikan ibadat haji walhal dia berkemampuan.

Firman Allah: “Mengerjakan haji adalah kewajiban manusia terhadap Allah, iaitu (bagi) orang yang sanggup mengadakan perjalanan ke Baitullah. Barangsiapa yang kufur (tidak tunaikan ibadat haji), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) dari semesta alam.” - ayat 97, ali-Imran.

Dalam pemaknaan yang sama (tidak menunaikan kewajiban), dinyatakan Allah dalam ayat 44 surah al-Maidah: “Barangsiapa yang tidak berhukum dengan hukum Allah, maka dia adalah kafir."

Ulama berbeza pendapat tentang makna kufur dalam ayat itu. Ibn Kathir memetik perkataan Taus bahawa Ibn Abbas ditanya berkenaan dengan ayat itu.

Ibn Abbas menjelaskan bahawa maksud kufur dalam ayat tersebut ialah berdosa besar dan bukannya bermaksud keluar agama.

Perang tak membawa keluar agama

Malah pemaknaan yang sama terdapat dalam hadis, iaitu sabda Nabi SAW: “Perjanjian di antara kita dengan mereka (orang bukan Muslim) adalah solat. Barangsiapa yang meninggalkannya (tidak menunaikan solat), sesungguhnya dia telah kufur."

Walaupun dalam hadis tadi Nabi SAW menyatakan bahawa orang yang tidak menunaikan solat adalah kafir, tetapi menurut Ibn Qayyim al-Jawziyyah, ulama tidak berbeza pendapat dalam menyatakan orang yang tidak menunaikan solat sekadar berdosa besar.

Hadis juga menyatakan bahawa celaan sesama Muslim adalah fasik, sedangkan saling bunuh-membunuh sesama muslim adalah kekufuran.

Perkara yang diketahui umum bahawa berlaku peperangan yang membawa bunuh-membunuh sesama sahabat – seperti Sayidina Muawiyyah dengan Sayidina Ali dalam peperangan Siffin dan Saidatina Aisyah dengan Sayidina Ali dalam peperangan Jamal.

Walaupun mereka berperang, ia tidak menjadikan mereka terkeluar dari Islam.

Daripada perbincangan ini, dapat disimpulkan bahawa mengikut sudut pemaknaan teks suci Islam, kalimah kufur bukan semestinya dimaksudkan kepada non-Muslim, tetapi digunakan juga untuk amalan-amalan kejahatan yang melibatkan Muslim, seperti tidak menunaikan kewajiban, melakukan dosa besar, tidak menunaikan solat, tidak mensyukuri nikmat Tuhan dan sebagainya.

Hakikat kafir

Apabila disebut kafir, ia merujuk kepada orang yang ingkar setelah diberikan hujah. Ini berdasarkan Firman Allah dari surah al-Baqarah, ayat 111 dan 112.

Dalam ayat 111, Allah menyatakan orang Yahudi dan Nasrani itu mendakwa, sesiapa pun tidak boleh masuk ke syurga kecuali kalangan mereka sahaja. Lalu, Allah nyatakan bahawa pandangan berkenaan hanya andaian mereka sahaja.

Malah, Allah mencabar mereka agar mendatangkan hujah jika mereka yakin mereka berada dalam kalangan yang benar.

Maka, dalam ayat ke-112, Allah pun menjelaskan siapa yang sebenarnya masuk ke syurga, iaitu mereka yang as-la-ma dirinya kepada Allah dan melakukan muhsin (Melayu: kebaikan, atau amal soleh), maka baginya balasan pahala di sisi Tuhan, tanpa takut dan mereka tidak akan bersedih.

Melihat pada dua ayat tadi, kita akan dapati bahawa kekufuran tidak berlaku kecuali setelah diberikan burhan, iaitu hujah yang mantap dan jelas. Ini disandarkan kepada kupasan ulama Islam terhadap pemaknaan as-la-ma.

Al-Qurtubi menyatakan, makna as-la-ma adalah penyerahan diri dan tunduk. Dalam pandangan lain, disebut makna as-la-ma ialah melakukan amalan secara ikhlas.

Dalam kitab Mafatih al-Ghaib, al-Razi menjelaskan bahawa antara maksud as-la-ma itu adalah penyerahan diri disertakan dengan burhan (diterjemah sebagai hujah yang kukuh).

Dari pemahaman itu, jelaslah bahawa yang dikatakan seseorang itu kafir ialah apabila dia ingkar setelah diberikan penjelasan ilmu yang kuat.

Andai tidak diberikan penjelasan yang kuat, dia tidak disebut sebagai kafir. Ini kerana elemen ingkar itu tidak wujud. Apatah lagi, ingkar tidak berlaku kecuali setelah diberikan hujah.

[Bersambung]


WAN JI WAN HUSSIN ialah pendakwah dan pengarah akademik Saudara Research Centre. Rencana ini dipetik dari laman sesawang saudara.org.

Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis atau organisasi yang diwakilinya serta tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen