malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pasangan nikah di Thailand perlu daftar kelahiran anak di JPN
Diterbitkan:  Mar 5, 2019 6:35 PM
Dikemaskini: 10:35 AM
ADS

Pasangan yang bernikah tanpa kebenaran rentas sempadan terutamanya di Thailand, perlu bertanggungjawab mendaftarkan kelahiran anak mereka di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) supaya kebajikan anak itu terbela dan tidak menghadapi kesulitan di kemudian hari.

Pengarah JPN Kedah Yusman Hambali Ahmad berkata setiap kelahiran dalam negara wajib didaftarkan mengikut Akta 299 atau dipanggil Akta Kelahiran dan Kematian 1957, yang mungkin tidak pandang serius kebanyakan pasangan yang bernikah di negara jiran itu, sehingga berlaku kes daftar lewat kelahiran anak.

“Daftar lewat kelahiran ini berlaku apabila sudah 60 hari ke atas anak dilahirkan tetapi masih tak daftar dengan JPN. Maksudnya pada hari ke-61, pendaftaran sudah dikira sebagai lewat,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Sebelum ini Bernama melaporkan kes pasangan dari Kedah yang berkahwin tanpa kebenaran di Thailand dilihat semakin membimbangkan apabila 799 kes dicatatkan tahun lalu, meningkat 233 kes daripada 566 kes pada 2017.

Bulan lepas, Ketua Pengarah JPN Mohammad Razin Abdullah dilaporkan berkata perkahwinan di negara luar terutamanya di Thailand yang gagal didaftarkan dan mendapat pengesahan Jabatan Agama Islam dalam negara menjadi antara faktor utama berlakunya kes lewat mendaftar kelahiran anak di JPN.

Sementara itu, Yusman berkata meskipun berdasarkan rekod JPN negeri hanya mencatatkan sejumlah 455 permohonan daftar lewat kelahiran tahun lepas berbanding 600 permohonan pada 2017, namun beliau percaya masih ramai pasangan di luar sana tidak mendaftarkan kelahiran anak mereka.

Tak dibenar guna bin, binti bapa kandung

“Biarpun kita tengok di atas kertas nampak macam ada penurunan, tetapi saya tak anggap ia benda seronok. Itu jumlah orang yang datang untuk mendaftar (lewat), jumlah yang tidak datang untuk daftar - kita tidak tahu. Saya percaya memang masih ramai sebenarnya (tidak daftar kelahiran anak) berpunca majoritinya kahwin di Siam (Thailand),” katanya.

Beliau menjelaskan, pasangan yang berkahwin tanpa kebenaran dan belum mendaftarkan perkahwinan itu di pejabat agama Islam dalam negara boleh mendaftarkan kelahiran anak di JPN tetapi tidak dibenarkan menggunakan bin atau binti atas nama bapa kandung.

“Pasangan terbabit perlu mendaftarkan perkahwinan mereka itu dahulu dengan pejabat agama, selagi belum daftar perkahwinan, anak itu mesti dibin atau bintikan dengan nama-nama Allah iaitu Asmaul Husna,” katanya.

Katanya, setelah pendaftaran perkahwinan itu dibuat, pasangan berkenaan boleh kemukakan sijil nikah daripada pejabat agama Islam di negara ini kepada JPN yang seterusnya akan membuat pindaan atas surat beranak anak mereka supaya dibin atau dibintikan dengan nama bapa kandung.

“Fikirlah soal anak itu. Takkan nak membesar tanpa sebarang dokumen. Apa pun tak boleh buat, kasihan anak nak sekolah, pergi hospital semua akan ada masalah. Nak kerja pun susah. Hidup macam pelarian di negara sendiri,” katanya.

- Bernama

Lihat Komen