malaysiakini logo
story-image
ADS

Bekas ketua menteri Sabah Musa Aman hari ini minta dibicarakan atas 16 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah AS$37 juta.

Berdasarkan nilai tukaran wang asing semasa jumlah itu bersamaan dengan RM151 juta.

Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 dan dibaca kepada Musa di depan hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur Rozina Ayub.

Dalam pertuduhan pertama, Musa didakwa melibatkan diri secara tidak langsung dalam transaksi pengubahan wang haram dengan mengarahkan pembukaan sebuah akaun di Bank UBS AG Singapura di bawah nama Richard Christopher Barnes, untuk menerima hasil daripada kegiatan haram.

Beliau juga berdepan pertuduhan alternatif (bagi pertuduhan pertama) mengarahkan sebuah akaun dibuka di bank tersebut menggunakan nama Barnes, untuk menyembunyikan pemilikannya hasil daripada kegiatan haram.

Baki 14 pertuduhan lagi berkaitan dengan dakwaan traksaksi dana haram melalui Bank UBS AG Hong Kong bawah nama Barnes antara 21 Jun 2006 dan 25 Mac 2008.

Jumlah terbesar yang direkodkan sebanyak AS16.15 juta, manakala satu pemindahan yang disebut dalam pertuduhan ke-10 terhadap Musa direkodkan sebanyak S$2.5 juta.

Bagi pertuduhan terakhir, Musa didakwa cuba untuk mengubah wang dengan mengarahkan Barnes menukar semua aset dan aliran masuk pada masa hadapan ke dalam akaun peribadinya di bank UBS AG di Zurich.

Dalam pertuduhan terakhir, Musa didakwa melibatkan diri secara tidak langsung dalam pengubahan wang haram dengan mengarahkan Barnes memindahkan semua aset dan kemasukan wang akan datang ke akaun peribadinya di Bank UBS AG Zurich, Switzerland.

Ketika pertuduhan dibaca, Musa dibenarkan untuk duduk ekoran keadaan kesihatannya.

Musa sebelum ini minta dibicarakan terhadap 35 pertuduhan rasuah berjumlah RM263 juta pada November tahun lalu.

Jika sabit kesalahan, Musa berdepan hukuman penjara antara lima hingga 15 tahun.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen