malaysiakini logo
story-image
ADS

Setiausaha BN Nazri Abdul Aziz berkata beliau menjadi mangsa MCA dan MIC yang sebenarnya tidak senang dengan pengukuhan kerjasama antara PAS dan Umno.

"Mereka tidak boleh kecam perbincangan Umno-PAS tanpa membuatkan orang Melayu marah jadi mereka jadikan saya sebagai kambing hitam," katanya kepada Malaysiakini.

Nazri sebelum ini berkata Umno sedang menjinjau jalinan kerjasama yang "kekal" dengan PAS.

Hari ini kedua-dua parti itu akan mengadakan pertemuan untuk membincangkan masa depan kerjasama mereka.

Semalam MCA dan MIC berkata mereka mungkin meninggalkan BN dan meneroka pakatan politik yang baru.

Dalam kenyataan bersama Presiden MCA Wee Ka Siong dan Presiden MIC SA Vigneswaran, ia berikutan sikap "terus membisu" Umno mengenai kenyataan perkauman daripada parti itu termasuk oleh Nazri.

Nazri kemudian berkata beliau tidak kisah jika MCA dan MIC benar-benar mahu berbuat demikian dan berkata ia akan menjadi pengakhiran dua parti itu.

Kenyataan itu dikritik anggota Majlis Tertinggi Umno Abdul Rahman Dahlan yang berkata Nazri selaku setiausaha BN sepatutnya lebih berhemah dan menjadi penimbang tara dalam menangani isu dalaman gabungan itu.

Nazri hari ini menjelaskan kenyataannya itu bersifat peribadi dan bukan atas kapasiti setiausaha agung BN.

"Saya bercakap secara peribadi kerana mereka serang saya," katanya lagi.

Pertikaian antara Nazri dengan MCA dan MIC tercetus apabila dua parti itu mengkritiknya kerana didakwa menggesa sekolah vernakular ditutup.

Nazri menafikan membuat gesaaan itu dan mendakwa media salah petik ucapannya.

Beliau menjelaskan kenyataannya bermaksud jika keistimewaan orang Melayu dipertikai, maka keistimewaan bukan Melayu juga akan dipersoalkan, termasuklah hak sekolah vernakular.

Hari ini beliau sekali lagi menafikan membuat kenyataan berbaur perkauman.

Lihat Komen