malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Majlis media dibentuk tahun ini - Kadir Jasin
ADS

Majlis Media Malaysia perlu ditubuhkan pada tahun ini, maklum A Kadir Jasin yang juga penasihat komunikasi dan media kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini.

Apatah lagi, kedua-dua Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta Pejabat Peguam Negara (AGC) telah menyatakan komitmen terhadap inisiatif ini.

"Saya fikir jika kami gagal, sekurang-kurangnya dalam tahun ini untuk menubuhkan majlis media, maka saya percaya kami tidak melakukan apa yang sepatutnya kami perlu buat.

"Dan ini tidak disenangi industri media (dan) kepada wartawan," katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Seminar Kebangsaan Perundingan Untuk Majlis Media Malaysia di Impiana Hotel, Kuala Lumpur hari ini.

Kadir menjelaskan kerajaan PH mempunyai iltizam politik untuk memastikan pihak media bebas mengawal selia industrinya sendiri walaupun masih belum memansuhkan Akta Penerbitan dan Mesin Cetak 1984 (PPPA) sejak berkuasa Mei tahun lalu.

"Saya fikir kerajaan ini telah membuat komitmen supaya (pemansuhan PPPA) dilakukan.

"Saya fikir tiada lagi hadangan besar yang akan menghentikan kami daripada membentuk Majlis Media Malaysia ini," katanya lagi.

Media Malaysia telah berjuang sejak 1974 lagi supaya dibentuk sebuah badan kawal selia yang mengatur industrinya, sama seperti kerjaya guaman melalui Majlis Peguam dan profesion perubatan dengan Majlis Perubatannya.

Pada seminar sama, kemudian CEO Malaysiakini Premesh Chandran (gambar) berkongsi kertas cadangan aspek perundangan yang dirangka berikutan perbincangan meluas bersama penerbit dan editor.

Rang undang-undang (RUU) yang dicadangkan itu akan memerlukan majlis media untuk menyediakan tatalaku, peluang pembangunan profesional dan pentauliahan kepada wartawan. 

Ia turut menyediakan mekanisme aduan media dan pendidikan celik media buat orang ramai.

Cadangan itu juga menggesa supaya PPPA serta Seksyen 211 dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dimansuhkan bagi memberi jalan penubuhan majlis media berkenaan.

Selanjutnya, cadangan itu mengatakan majlis media bakal dipengerusikan seorang bekas hakim yang tidak berpihak secara politik dan terdiri daripada 24 anggota - 12 penerbit media dalam talian, media cetak dan media penyiaran; empat wakil persatuan media; empat wartawan dan empat orang awam yang dilantik exco majlis media.

Sekurang-kurangnya tiga penerbit dan seorang wartawan perlu diwakili dari Malaysia Timur. Semua anggota majlis akan berkhidmat selama tiga tahun.

"Tempoh yang diberikan (kerajaan) supaya perubahan dibuat pada Mei tahun ini, iaitu genap ulang tahun pertama (sejak menang PRU14).

"Jadi kami telah bekerja selari dengan tempoh tersebut. Rang undang-undang ini hampir lengkap," kata Premish yang menjelaskan RUU itu akan diserahkan kepada Kadir dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

Persidangan hari ini dihadiri oleh wakil daripada kementerian komunikasi, Suruhanjaya Pilihan Raya, Bersih, universiti dan IPT serta kumpulan wartawan seperti Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ), Badan Wartawan Malaysia (IOJ), Foreign Correspondents Club of Malaysia (FCCM) dan kumpulan prokebebasan media tempatan, Gerakan Media Merdeka (Geramm)

Bagaimanapun, kelibat penerbit akhbar Melayu, Cina dan Tamil atau wartawannya tidak kelihatan.

Pengarah Centre for Independent Journalism (CIJ) Sonia Randhawa memberitahu Malaysiakini surat undangan telah dihantar kepada semua media kira-kira sebulan yang lalu.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen