malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
PRK Rantau: Streram pasrah dipilih atau tidak
ADS

Ketua PKR Cabang Rembau Dr S Streram akan terus memberikan sokongan terhadap partinya walaupun dia tidak terpilih sebagai calon untuk PRK Rantau tidak lama lagi.

Streram berkata, sebarang keputusan yang dicapai oleh parti dan pimpinan akan dihormati dan diterima dengan hati yang terbuka.

"Sesiapa calon yang mereka letak, saya akan sokong sepenuhnya untuk memenangkan kerusi ini daripada BN.

"Itu keputusan saya walaupun saya kerja (jalankan aktiviti di kawasan Rantau) sudah tiga setengah tahun. Saya beri peluang untuk parti dan juga presiden untuk membuat keputusan.

"Jadi saya rasa tak kira bangsa atau agama yang disenaraikan sebagai calon, paling penting (mestilah) seorang yang dikenali oleh masyarakat, pengundi di Rantau itu untuk menang PRK," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Pada 16 November lalu, Mahkamah Khas Pilihan Raya mengisytiharkan kemenangan pemangku Presiden Umno Mohamad Hasan tidak sah dan terbatal serta mengarahkan pilihan raya semula diadakan.

Sebelum ini, Wanita PKR menggesa anggotanya diletakkan sebagai calon PRK itu dan mempunyai tiga nama untuk dipertimbangkan.

Terdahulu hari ini, Pengerusi Majlis Penasihat PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata Biro Politik PKR akan membuat keputusan sama ada akan mencalonkan Streram sekali lagi untuk bertanding di DUN itu atau meletakkan calon lain.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen