malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pemuda PAS: Anwar punca PH kalah di Semenyih
Diterbitkan:  Mar 4, 2019 3:46 PM
Dikemaskini: 7:55 AM
ADS

PAS mendakwa sikap Presiden PKR Anwar Ibrahim yang menyerang parti Islam itu baru-baru ini membuatkan rakyat semakin benci dan menolak PH.

Ketua Pemuda PAS Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, ia juga merupakan faktor kekalahan PH dalam pilihan raya kecil (PRK) Semenyih.

"Adakah dengan menyerang PAS, pengundi Melayu akan menyokong PH dan adakah dengan menyerang PAS, peluang Umno untuk menang dalam PRK Semenyih tipis?

"Jawapannya tidak, jelas serangan Anwar terhadap PAS membuatkan orang Melayu semakin benci dan menolak PH secara terang tanpa segan silu.

"Sebenarnya, serangan Anwar terhadap PAS ialah punca utama kekalahan Bersatu di Semenyih," katanya seperti dilapor Harakahdaily.

Minggu lalu, Anwar mendedahkan bahawa PAS membayar pengarang Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown RM1.4 juta bagi menyelesaikan saman fitnah yang difailkan Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Khalil yang juga merupakan anak kepada Abdul Hadi mendakwa, tindakan Anwar itu dipercayai susulan perjumpaan pemimpin PAS dan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang menyaksikan PAS menyatakan sokongan terhaap pengerusi PH itu.

"Jelas selepas perjumpaan tersebut dan terdedah butirannya, PAS secara terang dan nyata menyatakan sokongan terhadap Mahathir sebagai perdana menteri serta mahu beliau kekal sehingga PRU15 yang membuatkan ramai tidak keruan.

"Sokongan PAS terhadap Mahathir sebenarnya membuat Anwar kepanasan. Tambahan pula, PAS mendedahkan wujud gerakan di sebalik, tabir untuk mengenepikan Mahathir sebagai perdana menteri.

"Ia membuatkan Anwar tidak senang duduk dan menyerang PAS bertubi-tubi. Pelik, mengapa beliau menyerang PAS sedangkan yang bertanding di PRK Semenyih ialah Umno, Bersatu dan PSM," katanya.

Lihat Komen