malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Maszlee janji kembalikan baucar buku RM250 tahun depan
Diterbitkan:  Mar 4, 2019 12:11 PM
Dikemaskini: 4:11 AM
ADS

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berjanji mengembalikan semula baucar buku RM250 kepada mahasiswa seperti yang diberikan ketika pentadbiran BN di bawah Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) pada tahun depan.

Berucap di hadapan mahasiswa Universiti Malaysia Kelantan, Maszlee dipetik Utusan Malaysia sebagai berkata bahawa pada tahun ini kerajaan hanya mampu memberikan wang tunai RM100 di bawah skim Bantuan Pelajar Pendidikan Tinggi ( BPPT) yang menggantikan BB1M.

"Keadaan kewangan semasa turut menyebabkan kadar bantuan kad buku dikurangkan selain keutamaaan kerajaan untuk menyalurkan lain-lain bantuan kepada golongan miskin.

"Itulah sebahagian hasil perbincangan mengenai perkara itu (kad buku) untuk tahun ini. Saya pohon maaf dan berjanji akan berusaha mendapatkan jumlah yang asal pada tahun hadapan," katanya menjawab soalan salah seorang mahasiswa.

Bulan lalu, media melaporkan program BPPT akan memanfaatkan 1.2 juta pelajar yang akan menerima bantuan RM100 wang tunai.

Menurut Kementerian Kewangan, bayaran berkenaan dijangka disalurkan penghujung Mac melalui kad debit Bank Rakyat.

Kerajaan sebelum ini meluluskan peruntukan Rm120 juta bagi program berkenaan yang bertujuan mengurangkan beban pelajar.

Lihat Komen