malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Bersatu tak panik walaupun kalah di Semenyih - Redzuan
Diterbitkan:  Mar 3, 2019 9:33 PM
Dikemaskini: 1:33 PM
ADS

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak panik walaupun kalah pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih semalam, sebaliknya ia akan meneruskan perjuangan dan tidak berputus asa.

Anggota Majlis Tertinggi (MT) Bersatu Mohd Redzuan Yusof berkata keputusan PRK semalam menunjukkan sistem demokrasi berlangsung dengan baik dan kekalahan PH itu juga mendedahkan kelemahan yang perlu ditambah baik untuk rakyat.

"Bersatu baru ditubuhkan tiga tahun lepas dan berada dalam kerajaan PH (Pakatan Harapan) pula baru sembilan bulan jadi tiada sebab untuk kita berputus asa," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis Penutup Karnival Usahawan Muda Selangor 2019 di Stadium Malawati, di Shah ALam hari ini.

Mohd Redzuan yang juga Menteri Pembangunan Usahawan, berkata buat masa ini kerajaan PH dalam proses membangunkan semula negara dan ia bukanlah suatu yang mudah.

"Selepas kita mengambil alih pentadbiran negara daripada kerajaan terdahulu, kita lihat banyak ketirisan oleh itu untuk membaikinya mengambil masa sekali gus menyebabkan kelewatan dalam memenuhi kehendak rakyat,” katanya.

Dalam 3 atau 4 tahun

"Bagaimanapun, kita lihat sekarang pembangunan ekonomi sedang meningkat… tetapi sekiranya dalam tiga atau empat tahun tidak betul rakyat boleh tukar kerajaan, tiada masalah," katanya.

Pada PRK DUN Semenyih semalam, Barisan Nasional menerusi calonnya Zakaria Hanafi menawan semula kerusi tersebut selepas mengatasi calon PH Muhammad Aiman Zainali dan dua lagi calon dengan kelebihan 1,914 undi.

Sementara itu, Mohd Redzuan berkata prototaip kereta terbang pertama negara dijangka disiapkan selewat-lewatnya penghujung Jun ini.

Beliau berkata kos pembuatannya akan dibiayai menggunakan dana daripada sektor swasta selain dibangunkan oleh tenaga kepakaran yang terlibat dalam penghasilan dron.

"Justeru, kita tidak boleh ketinggalan dalam pembangunan teknologi ini berbanding negara lain yang telah mempunyai prototaipnya," katanya.

- Bernama

Lihat Komen