malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Aiman berkempen? Biar pihak berkuasa siasat- Muhyiddin
ADS

PRK SEMENYIH |  Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Muhyiddin Yassin tidak mahu memberikan komen panjang lebar berkaitan calon Pakatan Harapan (PH) Muhammad Aiman Zainali yang dikatakan melakukan kesalahan berkempen di hari mengundi.

Sebaliknya, menteri dalam negeri itu menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk melakukan siasatan berkenaan tuduhan tersebut.

Menjawab secara ringkas, Muhyiddin bertanya adakah kata-kata yang diucapkan Aiman di hadapan pemberita pagi tadi boleh dianggap berkempen sedangkan pemberita bukanlah pengundi yang terlibat dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih.

“Saya diberitahu bahawa media tanya dia (Aiman) setelah mengundi di tempat membuang undi, dia bercakap dengan media tu (dikira) kempenkah? Media pun adalah pengundikah?

“Adakah dia sudah melakukan kesalahan? Kalau bercakap sekarang ini (sidang media), bukan orang Semenyih ni banyak ni (pemberita yang hadir).

“Saya dengar pun pihak sana (BN) pun dah melakukan, ada dapat video, dia salam (pengundi), ‘undi saya undi saya undi saya’. Salah tak? Salah tak?”

“Biar pihak berkuasa sama ada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) atau mana yang bertanggungjawab siasatlah. Jadi tak payah saya komen,” katanya.

Beliau berkata demikan dalam sidang media di ibu pejabat polis daerah Kajang, hari ini.

Pagi tadi, setelah selesai membuang undi di SMK Engku Hussain, Aiman secara jelas didengar mengeluarkan kata-kata: "Mengundilah PH, undilah Aiman Zainali”.

Aiman berkata demikian ketika dikelilingi kira-kira 30 pemberita ketika ditanya mengenai kelancaran proses pengundian di sekolah tempat dia pernah belajar itu.

Aiman bagaimanapun dipercayai tidak menyedari perbuatannya itu boleh dianggap menyalahi undang-undang SPR.

Calon BN Zakaria Hanafi juga melakukan kesalahan sama dengan menyapa pengundi dengan kata-kata: "Jangan lupa nombor satu."

Semalam, SPR mengingatkan semua pihak terlibat dalam PRK Semenyih agar tidak meneruskan kempen selepas jam 11.59 pm semalam.

“SPR sekali lagi mengingatkan semua pihak yang bertanding bahawa tempoh rasmi berkempen akan tamat pada malam ini iaitu sehingga jam 11.59 minit malam, 1 Mac 2019.

“Selepas tempoh itu berakhir, semua pihak hendaklah menghentikan sebarang bentuk aktiviti berkempen termasuk aktiviti merayu undi adalah dilarang.

“Tiada mana-mana pihak yang boleh merayu undi termasuklah di luar Pusat Mengundi dan juga melalui saluran media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram dan lain-lain," kata SPR dalam suatu kenyataan.

Lihat Komen