malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Muhyiddin: Dakwaan MyKid anak Indira ditukar tak benar
ADS

Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin hari ini menafikan dakwaan NGO Indira Gandhi Action Team (Ingat) bahawa nombor kad pengenalan anak Indira, Prasana Diksa telah ditukar.

Katanya, setelah berhubung dengan ketua pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), beliau dimaklumkan bahawa tuduhan itu tidak berasas.

“Saya telah pun minta ketua pengarah buat satu kenyataan jelas pasal tuduhan, mengatakan ada manipulasi untuk menukar nombor (IC Prasana)[....], saya kata saya bertanggungjawab dan saya dah minta ketua pengarah menyiasat dan terbukti tuduhan itu palsu dan tidak benar.

“Terserah pada ketua pengarah sama ada fitnah ini mereka nak ambil tindakan terhadap Ingat atau nak minta permohonan maaf, itu saya serah kepada ketua pengarah.

“Tapi faktanya kenyataan itu adalah tidak benar. Tak ada perkara seperti itu,” katanya dalam sidang media di bilik gerakan utama Pakatan Harapan (PH) di Taman Pelangi, Semenyih.

Minggu lepas, Ingat mendakwa nombor MyKid Prasana telah ditukar, menyebabkan usaha untuk mengesan lokasinya semakin sukar.

Mereka berkata demikian setelah mendapati rekod Prasana tidak ditemui dalam pangkalan data Kementerian Pelajaran.

Ingat turut menawarkan ganjaran RM10,000 kepada sesiapa yang memberi maklumat mengenai bekas suami Indira, Muhammad Riduan Abdullah yang meninggalkan rumah pada 2009 bersama Prasana yang ketika itu berusia 11 bulan.

Kes penjagaan anak antara Riduan dan Indira sebelum ini melibatkan mahkamah syariah dan sivil.

Mahkamah Tinggi pada 2014 mengeluarkan waran tangkap terhadap Riduan namun sehingga kini polis masih belum menemuinya.

Mahkamah Persekutuan pula sebulat suara mengisytiharkan penukaran agama satu pihak menyalahi undang-undang pada Januari tahun lepas.

Sementara itu, JPN melalui kenyataan hari ini memaklumkan tiada sebarang pindaan maklumat dibuat terhadap rekod peribadi Prasana dan menyifatkan tuduhan Ingat sebagai mencemar imej JPN.

Sehubungan itu, JPN menuntut Ingat untuk memohon maaf atas tuduhan tersebut atau berdepan tindakan undang-undang.

Lihat Komen