malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Najib gagal dalam cubaan singkirkan Sri Ram
Diterbitkan:  Mar 1, 2019 3:40 PM
Dikemaskini: 10:19 AM
ADS

Bekas perdana menteri Najib Razak gagal dalam permohonannya untuk menyingkirkan bekas hakim Mahkamah Rayuan Gopal Sri Ram daripada menerajui pasukan pendakwaan dalam kes-kes yang berkaitan dengan 1MDB.

Penghakiman dibacakan oleh hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah berdasarkan hujahan peguam Najib dan pendakwaan.

Berikutan keputusan itu, peguam utama Najib, Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan mahkamah bahawa pihaknya akan memfailkan rayuan kepada mahkamah rayuan.

Justeru, Shafee memberitahu pemberita kemudiannya, bahawa beliau memohon mahkamah supaya menangguhkan perbicaraan berkaitan 1MDB Najib sementara menunggu rayuan itu didengar.

Najib memohon mahkamah supaya membatalkan kelayakan Sri Ram, yang dilantik oleh Peguam Negara Tommy Thomas sebagai timbalan pendakwa raya untuk menerajui pasukan pendakwaan terhadapnya.

Beliau diwakili oleh pasukan peguam yang diketuai oleh Shafee Abdullah manakala pendakwaan diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya Akram Gharib.

[Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan Hakim Collin menolak permohonan Najib selepas mendapati tiada bukti bahawa Sri Ram akan berat sebelah dalam bertindak sebagai timbalan pendakwa raya kanan ketika mengendalikan kes itu.

“Mahkamah tidak menemui apa-apa asas yang boleh mendorong orang awam yang sedikit berpengetahuan dengan secara munasabah membuat kesimpulan bahawa pemohon tidak akan mendapat perbicaraan yang adil jika Sri Ram terlibat dalam pendakwaan,” kata hakim itu.

Beliau juga berkata tiada bukti yang menunjukkan Sri Ram terlibat dalam penyiasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan 1MDB yang dihadapi Najib.

Mengenai hujah pihak pembelaan bahawa Sri Ram mesti mengemukakan surat lantikan beliau sebagai pendakwa raya secara arahan, Collin berkata Najib tidak berhak untuk meminta surat itu.

“Peguam Negara sendiri telah memberitahu mahkamah ini bahawa Sri Ram dilantik mengikut Seksyen 376(3) Kanun Acara Jenayah (CPC), ini bermaksud Sri Ram telah menerima arahan rasmi daripada Peguam Negara untuk mendakwa dalam kes-kes tersebut.

“Fakta ini dengan sendirinya meletakkan sebarang keraguan dalam fikiran mengenai locus standi Sri Ram untuk bertindak sebagai pendakwa raya dalam kes-kes tersebut sebagai melampaui keraguan,” kata hakim itu.

Collin seterusnya berkata peruntukan Seksyen 376(3) Kanun Acara Jenayah tidak menetapkan bahawa pelantikan itu mesti dalam bentuk bertulis dan ia juga tidak menyatakan bahawa surat lantikan hendaklah dikemukakan jika diminta.

“Tidak ada keperluan bagi pelantikan ini diwartakan,” kata beliau.

Hakim itu juga menolak permohonan Muhammad Shafee Abdullah untuk menangguhkan perbicaraan itu yang dijadualkan pada 15 April hingga 3 Mei.

Muhammad Shafee yang mewakili Najib memohon perbicaraan kes-kes 1MDB ditangguhkan memandangkan pihak pembelaan akan memfailkan rayuan terhadap keputusan hari ini.

“Kami akan memfailkan rayuan hari ini,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib membantah permohonan Najib bagi memohon perintah penangguhan dengan menghujahkan bahawa rayuan bukan satu alasan wajar untuk memohon penangguhan perbicaraan itu.

Pada Disember tahun lalu, Najib, sebagai pemohon telah memohon satu perintah supaya Pendakwa Raya, sebagai sesponden, mengemukakan satu salinan surat lantikan Sri Ram sebagai timbalan pendakwa raya kanan yang dikatakan mengikut Seksyen 376(3) Kanun Acara Jenayah.

Najib, 66, juga memohon satu perintah agar Sri Ram digugurkan daripada terus bertindak sebagai timbalan pendakwa raya kanan dan/atau bertindak bagi pihak pendakwa raya dalam kes-kes 1MDB.

Pada 20 Sept 2018, Najib didakwa dengan empat pertuduhan mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion.

Najib dituduh melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, No. 55, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon antara 2011 dan 2014.

Pada 20 Feb 2019, Hakim Mahkamah Tinggi (Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas)  Azizah Nawawi menolak permohonan Najib untuk kebenaran semakan kehakiman bagi mencabar pelantikan Sri Ram untuk mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes-kes 1MDB yang dihadapinya.


Lihat Komen