malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Tinjauan: Pengundi India Semenyih cenderung sokong PH
ADS

PRK SEMENYIH | Menjelang pilihan raya kecil (PRK) Semenyih Sabtu ini, Malaysiakini membuat tinjauan dalam kalangan pengundi India berhubung isu yang menjadi keutamaan mereka.

Untuk rekod, pengundi India di Semenyih merangkumi 13.3 peratus daripada 54,503 pengundi di mana Pusat Daerah Mengundi Bandar Rinching dan Semenyih Indah merupakan dua kawasan yang mempunyai pengundi India bermajoriti besar.

Daripada tinjauan yang dibuat, antara perkara yang dibangkitkan adalah kesesakan jalan. Rata-rata pengundi berasa kesesakan lalu lintas di Pekan Semenyih merupakan perkara paling asas yang perli diberi perhatian segera.

Salah seorang yang ditemui menyifatkan kesesakan jalan di Pekan Semenyih sebagai "sangat teruk".

"Ia perlu diberi perhatian. Bukan sahaja sekadar kesesakan lalu lintas, malah keselamatan pengguna jalan raya di sekitar Pekan Semenyih turut menjadi tanda tanya," kata, T Selvarani, 55 yang merupakan seorang aktivis tempatan.

Selvarani yang berasal dari Taman Desa Kenanga berkata, generasi kelima di Semenyih mahu kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan segera menyelesaikan isu berkenaan.

T Selvarani

Menurutnya, rancangan pembinaan jambatan baru antara Pekan Semenyih dengan Kampung Bahru Semenyih merupakan antara punca yang mengakibatkan kesesakan lalu lintas setiap hari di kawasan itu.

"Jambatan lama dirobohkan pada tahun 2017 untuk membina yang baru. Tetapi sehingga hari ini, jambatan baru masih belum siap.

"Lori-lori yang besar turut menggunakan jalan Pekan Semenyih mengancam keselamatan pengguna jalan raya di sana," katanya kepada Malaysiakini.

Pembinaan hospital dan tanah pertanian

Pandangan yang sama dikongsi oleh T Muniandy, 70, yang merupakan tukang cuci kereta dari Kampung Bahru Semenyih.

"Kalau boleh kerja pembinaan jambatan ini perlu dipercepatkan," katanya.

Berhubung cadangan pembinaan hospital, Muniandy menyambut baik calon PH Muhammad Aiman Zainali yang turut mengetengahkan isu itu dalam kempennya.

Jelas Muniandy, Hospital Kajang yang terletak kira-kira 10km dari Pekan Semenyih agak jauh bagi penduduk yang tidak mempunyai kenderaan peribadi

"Kalau ada kereta tak apa. Bagaimana dengan mereka yang menggunakan pengangkutan awam? Saya sendiri pesakit diabetes terpaksa bertunggu lama untuk bas ke Kajang," katanya.

T Muniandy

Selain itu, pengundi India di Semenyih juga turut berharap kerajaan membuka peluang pertanian kepada penduduk Semenyih.

"Semenyih merupakan kawasan separuh bandar. Masih ada banyak tanah kosong yang boleh diberikan kepada penduduk Semenyih bagi meningkatkan pendapatan," kata A Balan.

Balan, 56, yang berasal dari Bandar Rinching, berkata tanah pertanian akan dapat membantu menampung kos sara hidup penduduk di Semenyih.

"Saya tidak kata kerajaan tidak bantu. Tapi, bantuan kewangan tidak sampai ke tangan kami. Selalu, dirompak oleh orang di tengah.

"Yang dapat hanya guni beras. Berapa hari boleh makan dengan beras ini? Lagi baik, bagilah tanah untuk pertanian," katanya.

Ragu kebolehan calon PH

Sementara itu, K Suresh, 36 dari Sunway Semenyih, pula membangkitkan kebimbangan terhadap kebolehan calon PH.

Suresh yang bekerja sebagai pengurus syarikat melihat Muhammad Aiman yang berusia 30 tahun sebagai "kurang matang".

"Permintaan saya di PRK ini adalah saya nak minta calon PH supaya lebih realistik. Ini kerana saya nampak beliau agak kurang matang.

"Ini bukan pandangan peribadi saya. Tetapi, ramai rakan saya di Semenyih mempunyai pandangan yang sama," katanya.

Memberi contoh, Suresh merujuk kenyataan Muhammad Aiman dalam sebuah program kempen PH yang berkata akan menyelesaikan masalah di Semenyih sehari selepas terpilih menjadi wakil rakyat.

"Bagi saya ini kenyataan agak kurang matang. Saya faham beliau baru berusia 30 tahun. Tapi, saya harap Muhammad Aiman mampu memberi yang lebih baik," katanya.

K Suresh

Bagaimanapun, rata-rata pengundi India yang ditemui menunjukkan kecenderungan menyokong Muhammad Aiman.

Berkongsi pandangan Selvarani, Muniandy dan Suresh yang berkata akan sokong PH, R Saranbabu, 38, seorang pemilik pasar mini percaya bahawa pada PRK ini pengundi India tetap akan menyokong calon PH.

"Ini kerana, kami nampak tiada sebab untuk menolak calon PH. Kenapa perlu tolak dia? Kena bagi peluang dulu. Baru boleh membuat sebarang penilaian.

"Isu Sekolah Tamil Semenyih (SJKT Ladang Semenyih) sudah diselesaikan. Taraf kehidupan sudah banyak berubah jika dibandingkan dengan zaman BN," katanya yang berasal dari Taman Jaya Semenyih.

T Murthy, 50 pula berkata pengundi India di Semenyih akan tetap menyokong calon PH kerana lebih "membenci" BN.

"Memang mereka agak marah dengan janji-janji yang tidak dilaksanakan. Tetapi, saya percaya mereka tetap akan sokong PH kerana kebencian mereka terhadap BN lebih mendalam berbanding isu-isu lain.

"Kami memahami bahawa kerajaan perlu diberi lebih masa. Kalau BN diberi 60 tahun. Apa salah memberi lima tahun kepada PH?" katanya dan meramalkan lebih 70 peratus pengundi India di Semenyih, esok.

Lihat Komen