malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Mati dalam tahanan: Keluarga minta buka semula kes
ADS

Keluarga mendiang P Karuna Nithi yang mati di dalam tahanan pada 2013 tampil membuat satu laporan polis supaya membuka semula siasatan jenayah terhadap kes ini.

Ini berikutan keputusan Pejabat Peguam Negara (AGC) pada 21 Februari lalu untuk menarik balik permohonan di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Koroner Seremban pada 2015 yang memutuskan kematian P Karuna Nithi pada 2013 akibat dipukul oleh pihak polis dan tahanan lokap lain.

P Elam Sezhian abang kepada Karuna membuat laporan polis di Ibu Pejabat Daerah Petaling Jaya, hari ini menggesa pihak polis supaya membuka satu siasatan terhadap kematian adiknya.

Menurutnya, laporan polis dibuat selepas AGC menarik balik rayuan di Mahkamah Rayuan pada minggu lalu, sekaligus mengekalkan keputusan inkues kematian Karuna Nithi.

"Ini memberi ruang kami (keluarga) untuk menggesa pihak polis untuk menyiasat semula kes ini selepas mahkamah mengekalkan keputusan bahawa mendiangnya mati akibat dipukul," katanya kepada pemberita.

Tambahnya, beliau berharap pihak polis akan mengadakan satu siasatan yang proffesional dan secara bebas dengan sesegara mungkin.

49 kecederaan

Turut hadir, peguam Zaid Malik dari Lawyers For Liberty (LFL) yang menemani Elam Sezhian menjelaskan bahawa keputusan AGC menarik balik rayuan bermakna keputusan mahkamah koroner dikekalkan.

"Keputusan mahkamah dalam kes ini sangat jelas di mana Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan mahkamah koroner."

"Maka, kami meminta pihak polis supaya segera bertindak siasatan terhadap anggota polis dan tahanan yang dipercayai memukul Karuna Nithi sehingga mati di lokap," katanya.

Untuk rekod, pada 28 Januari 2015, Koroner Jagjit Singh berkata Karuna Nithi, seorang jurutera, mempunyai 49 kecederaan – kebanyakan lebam – di seluruh tubuh.

“Tambahan lagi, kematiannya juga disebabkan oleh kegagalan penyediaan bantuan kesihatan dan perhatian diperlukan dan kegagalan polis menghalang tahanan lain menganiaya si mati dalam lokap,” kata Jagjit.

Karuna Nithi pada mulanya ditahan di ibu pejabat polis Tampin pada 28 Mei 2013 ditemui mati dalam lokap di ibu pejabat polis daerah Tampin pada 1 Jun 2013.

Lihat Komen