malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Tiada petunjuk baru kes anak Indira, bekas suaminya
ADS

Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun memaklumkan bahawa polis tidak mempunyai petunjuk baru mengenai keberadaan anak bungsu Indira Gandhi, Prasana Diksa mahupun tentang bekas suaminya, Muhammad Riduan Abdullah.

Justeru, Fuzi sekali lagi merayu kepada orang ramai untuk mendapatkan maklumat.

"Kami tidak mempunyai maklumat. Saya gesa sesiapa yang ada maklumat untuk tampil ke hadapan dan kami akan segera bertindak," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis peringatan ulang tahun Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) ke-63 di Cheras, Kuala Lumpur, hari ini.

Sabtu lalu, wanita itu bersama dengan Kumpulan Indira Gandhi Action Tema (Ingat) menawarkan ganjaran RM10,000 kepada sesiapa yang memberi maklumat mengenaikan Riduan.

Indira juga berkata bahawa dia akan memfailkan perintah mandamus terhadap Fuzi untuk memaksa ketua polis negara itu untuk menangkap bekas suaminya.

Hari ini, Fuzi berkata bahawa rayuan terdahulunya untuk mendapatkan maklumat tentang Ridhuan dan Prasana tidak membuahkan sebarang hasil, tetapi menambah bahawa Jabatan Siasatan Jenayah (CID) akan terus mencari petunjuk baru.

"Saya telah memberikan arahan berulang kepada CID untuk membuat pengumuman tentang kes itu, dan proses membuat pengumuman akan berterusan. Tidak ada masalah.

"Masalahnya kami tidak mendapat respon daripada orang ramai," katanya.

Hampir 10 tahun berlalu sejak Ridhuan membawa lari Prasana setelah menukar agama tiga anaknya kepada Islam tanpa persetujuan isterinya, ketika pada tahun 2009.

Riduan dan Indira kemudian terus menggunakan saluran undang-undang termasuk melibatkan kedua-dua mahkamah syariah dan sivil dalam rebutan itu.

Pada tahun 2014, Mahkamah Tinggi telah mengeluarkan waran tangkap ke atas Riduan, tetapi hingga hari ini polis masih belum menemuinya.

Tahun lalu, Mahkamah Persekutuan sebulat suara mengisytiharkan penukaran agama secara satu pihak adalah menyalahi undang-undang.

Lihat Komen