malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Berita
SPR: Pemberian hamper, baik pulih rumah satu kesalahan
ADS

PRK SEMENYIH l Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menegaskan pemberian hamper dan khidmat membaik pulih rumah sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih adalah bercanggah dengan peraturan akta pilihan raya.

Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun, berkata pihaknya ada menerima laporan berhubung kesalahan berkenaan dan berharap pihak yang mempunyai maklumat lengkap melaporkannya kepada pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Azhar berkata, SPR selaku badan pengelola pilihan raya tidak mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan.

"Seperti yang saya kata dulu, siapa yang mempunyai maklumat lengkap, maklumat yang tepat laporkan kepada SPRM. Pihak SPR hanya mengelola pilihan raya.

"Kita (SPR) tidak mempunyai kuasa langsung.... ia boleh dilaporkan kepada pihak berkuasa seperti mana kesalahan jenayah lain," katanya kepada media selepas melakukan tinjaun proses pengundian awal di Kem Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) di Semenyih, pagi tadi.

Pada 22 Februari lalu, Pemuda Umno membuat satu laporan polis berhubung cubaan membeli undi pada kempen PRK DUN Semenyih.

Ia membabitkan pemberian hamper dan tawaran membaik pulih rumah di bawah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

Laporan polis tersebut dibuat oleh Ketua Pemuda Umno Negeri Sembilan, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang

Bagaimanapun Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin pada 22 Februari lalu berkata pemberian hamper dan surat tawaran membaik pulih rumah bagi penduduk Semenyih tidak melanggar sebarang undang-undang.

Muhyiddin, yang mempengerusikan jawatankuasa pilihan raya Semenyih Pakatan Harapan (PH) berkata, surat tawaran membaik pulih rumah di bawah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) sudah diputuskan sebelum PRK.

Sementara itu, Azhar berkata perkara itu juga boleh dijadikan alasan ataupun bukti oleh pihak yang tewas untuk mencabar keputusan pilihan raya.

Katanya, pihaknya juga tidak boleh membuat laporan terhadap pihak berkuasa berhubung perkara itu kerana tidak mempunyai maklumat lengkap.

Jelasnya, SPR telah mengeluarkan senarai peraturan-peraturan yang perlu dipatuhi oleh mana-mana calon bertanding.

"Kalau saya buat laporan, polis tanya (bukti) saya tak tahu," katanya.

Lihat Komen