malaysiakini logo
story-image
ADS

Terjemahan Akhbar tempatan Sarawak, The Sarawak Tribune, yang menyiarkan karikatur yang mempersendakan Nabi Muhammad s.a.w dalam edisi Sabtu lalu mungkin dikenakan tindakan digantung atau dibatalkan permit penerbitannya.

Ketua Pengarangnya, Toman Mamora telah dipanggil ke Putrajaya esok untuk bertemu para pegawai Kementerian Keselamatan Dalam Negeri.

Menurut pengurusan Sarawak Tribune di dalam notis minta maafnya yang disiarkan pada Ahad lalu, pengarang yang bertanggungjawab terhadap penyiaran karikatur tersebut telah meletakkan jawatan serta merta.

Seorang kakitangan kanan editorial akhbar itu memberitahu malaysiakini, akhbar berbahasa Inggeris tertua di Sarawak itu akan menyiarkan notis minta maaf yang kedua esok.

malaysiakini difahamkan penyiaran notis minta maaf yang kedua itu dibuat di atas nasihat pihak berkuasa negeri Sarawak yang merasakan permintaan maaf yang pertama itu tidak memadai untuk memulihkan perasaan umat Islam yang tersinggung oleh penyiaran karikatur tersebut.

Tertdapat juga desas desus mengatakan kemungkinan besar rombakan besar-besaran akan dibuat terhadap bahagian editorial akhbar tersebut selepas perletakan jawatan pengarang terbabit.

Pengurusan akhbar itu mengadakan mesyuarat tergempar pada petang Sabtu lalu setelah menerima rungutan daripada orang ramai berhubung penyiaran karikatur berkenaan.

Karikatur yang disiarkan oleh akhbar tersebut disertai dengan laporan tunjuk perasaan umat Islam di seluruh dunia yang membantah tindakan akhbar Denmark menyiarkan bahan yang mempersendakan Islam itu.

Penyiaran karikatur berkenaan di Denmark kemudiannya diikuti oleh beberapa akhbar di negara Eropah lain dan ini menyebabkan umat Islam mengadakan tunjuk perasaan besar-besaran hingga menimbulkan rusuhan.

Di Beirut, Lubnan, pejabat kedutaan Denmark dan sebuah gereja Maronite Katholik telah dibakar.

Sementara itu seorang terbunuh dan dua lagi cedera dalam demonstrasi di bandar Mehtarlam, Afghanistan. Sabtu lalu penunjuk perasaan di Syria membakar pejabat kedutaan Denmark dan Norway di Damsyik.

Pengarang Sarawak Tribune yang meletakkan jawatannya itu (namanya dirahsiakan atas alasan keselamatan) berusia dalam lingkungan 40an dan pernah bekerja dengan beberapa buah akhbar sebelum ini.

Beliau memberitahu malaysiakini, dia menyesali tindakan menyiarkan karikatur tersebut. Berita asal


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!