malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Muhyiddin: Tiada kompromi terhadap perbuatan hina agama
Diterbitkan:  Feb 23, 2019 12:37 PM
Dikemaskini: 4:37 AM
ADS

Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan tidak akan berkompromi dengan sebarang perbuatan menghina agama yang boleh menjejaskan keharmonian di kalangan masyarakat.

Dalam kenyataan hari ini , beliau berkata mereka yang berbuat demikian akan ditahan mengikut proses undang-undang, dihadapkan ke mahkamah dan dihukum jika disabitkan kesalahan.

Beliau merujuk beberapa kes melibatkan dakwaan penghinaan terhadap agama baru-baru ini, antaranya peletakan berhala di sebuah surau di Klang dan dakwaan penghinaan terhadap Nabi Muhammad oleh seorang individu di laman sosial.

Beliau menyifatkannya sebagai "amat berbahaya" dan telah menimbulkan kemarahan di kalangan umat Islam.

"Ini termasuk mesej-mesej penghinaan terhadap agama Islam yang disebarkan di media sosial," katanya lagi.

Siasatan polis mendapati berhala Datuk Gong yang diletakkan di Surau Sabihul Huda di Klang dicuri daripada sebuah rumah yang terletak 50m daripada surau itu, selepas pemiliknya membuat laporan polis.

Polis kini menyiasat kes itu mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan berkaitan perbuatan mencemarkan tempat sembahyang dengan niat mencemarkan sesuatu agama.

Berhubung kes penghinaan terhadap Najib Muhammad pula, Muhyiddin berkata siasatan polis telah selesai.

"Saya percaya timbalan pendakwa raya akan membuat keputusan mengenai pendakwaan saspek tersebut di mahkamah dalam masa terdekat," katanya lagi.

Selasa lalu, Ketua Polis Pahang Mohd Zakaria Ahmad berkata suspek berusia 68 tahun itu telah ditahan di rumahnya di Mentakab pada 19 Februari lalu dan diserahkan kepada polis Batu Pahat, di mana laporan terhadapnya dibuat. 

Lihat Komen