malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Najib: Kerusi kosong di program PH petanda apa?
ADS

PRK SEMENYIH | Bekas perdana menteri Najib Razak menyindir beberapa program anjuran Pakatan Harapan (PH) yang menurutnya kurang mendapat sambutan, dan berkata ia merupakan pentanda awal BN akan menang.

Beliau mendakwa kehadiran penduduk Semenyih ke progam "bossku" lebih ramai berbanding sambutan terhadap acara PH, termasuk yang menampilkan timbalan presiden PKR yang juga bekas menteri besar Selangor Mohamed Azmin Ali dan menteri besar sekarang Amirudin Shari.

"Azmin kata saya takut untuk datang (berkempen di Semenyih), tetapi saya tak takut. Saya juga tak pasti Azmin dapat sambutan seperti ini atau tidak.

"Malam ini kita buat program di Taman Tasik Kesuma, lebih 1,000 hadir. Ceramah MB (Selangor) saya tengok banyak kerusi kosong.

"Itu alamatnya apa? Petanda awal kita menang kali ini," katanya dalam program ceramah di Rinching, Semenyih malam tadi.

Selepas PRK Cameron Highlands, Najib sekali lagi giat berkempen di Semenyih dan sudah beberapa kali menyertai kempen bagi membantu calon BN Zakaria Hanafi.

Pemerhatian Malaysiakini mendapati program beliau lebih banyak bertumpu di kawasan '50-50' antara PH dan BN, seperti Bukit Mahkota, Beranang, Bandar Tasik Kesuma dan Bandar Rinching Seksyen 5-6.

Siri program 'bossku' Najib - penjenamaan semula beliau selepas PRU ke-14 dengan imej yang lebih santai serta penggunaan sindiran dalam kritikan terhadap PH - dilihat mendapat sambutan memberangsangkan.

Sebelum penamaan calon, Azmin berkata beliau ingin melihat sama ada Najib hadir ke Semenyih selepas mula menyertai kempen PRK dengan lebih aktif di Cameron Highlands.

Azmin juga secara tidak langsung mempersoalkan ketiadaan isteri Najib, Rosmah Mansor, dalam programnya. Ia berbeza ketika Najib masih menjadi perdana menteri apabila Rosmah sering di sisinya dalam majlis-majlis rasmi.

Sementara itu, Najib juga menyorot kembali pentadbirannya dengan berkata beliau sentiasa berusaha memberi kesenangan kepada rakyat ketika menjadi perdana menteri.

Antara yang dibangkitkannya ialah pemansuhan empat tol pada 2017, iaitu di Batu Tiga Shah Alam dan Sungai Rasau di Selangor, Plaza Tol Bukit Kayu Hitam di Kedah dan tol Eastern Dispersal Link (EDL) di Johor.

Katanya, ia berbeza dengan PH yang gagal melakukan perkasa sama walaupun ia terkandung dalam manifestonya.

Bagaimanapun untuk rekod, janji penghapusan tol secara berperingkat itu tidak termasuk dalam sepuluh janji 100 hari PH.

Lihat Komen