malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Bagi Cuepacs, 1.7 juta kakitangan awam tak besar
Diterbitkan:  Feb 22, 2019 12:00 PM
Dikemaskini: 6:04 AM
ADS

Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja di dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mempertahankan jumlah 1.7 juta kakitangan awam ketika ini yang menurut Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sebagai terlalu terlalu besar.

Sebalik, presidennya, Azih Muda berkata jumlah itu sejajar dengan peningkatan jumlah keseluruhan rakyat ketika ini.

Bagaimanapun katanya, beliau menghormati pandangan perdana menteri bahawa jumlah itu terlalu besar berbanding hanya sejuta pada 2003.

“Angka sejura itu berpandukan pada tahun 2003 semasa Mahathir meninggalkan kerajaan. Ketika itu rakyat hanya ada 16 juta tetapi sekarang dah bertambah kepada 32 juta.

"Dalam tempoh 16 tahun ini, banyak sekolah, hospital, balai polis dan pusat kawalan ketenteraan dibina bagi memenuhi bilangan rakyat yang semakin beretambah.

“Bagi Cuepacs, angka 1.7 juta penjawat awam ini tidak terlalu besar," katanya yang dipetik oleh akhbar Sinar Harian.

Walaupun Azih mendakwa Malaysia mempunyai penduduk 16 juta pada tahun 2003, data Bank Dunia menunjukkan penduduk pada tahun itu melebihi 24 juta.

Dr Mahathir pada sesi dialog bersama warga Angkatan Tentera Malaysia di Kementerian Pertahanan di Kuala Lumpur, semalam berkata berkata kerajaan berhasrat membangunkan lebih banyak peluang pekerjaan di sektor swasta dengan gaji yang lebih lumayan.

Ini katanya, supaya kaedah berkenaan dapat mengurangkan kebergantungan rakyat untuk bekerja di sektor awam yang dianggap sebagai terlalu besar.

Beliau walau bagaimanapun, mengakui bahawa berbuat demikian akan menyebabkan pengangguran dan menyebabkan "masalah sosial" bagi negara.

Mengulas lanjut, Azih menggesa kerajaan Pakatan Harapan supaya mengekalkan perkhidmatan awam pada saiz sekarang.

"Kami percaya dengan jumlah penjawat awam sedia ada membolehkan negara kita maju," katanya.

Malah, Azih berpendapat bahawa lebih ramai kakitangan awam diperlukan.

"Misalnya, hasil lawatan kami ke hospital kerajaan mendapati kakitangan hospital tidak bertambah tetapi pelanggan meningkat.

“Di di klinik harian pun ramai pesakit tapi yang kerja tak ramai,” katanya.

"Kakitangan semakin tertekan hingga nak makan dan minum pun tak sempat. Bayangkan kalau kurang lagi kakitangan, macam mana?" soalnya.

Lihat Komen