malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Najib jelaskan bayaran RM15j pada Stadlen melalui Hafarizam
Diterbitkan:  Feb 21, 2019 4:58 PM
Dikemaskini: 10:40 AM
ADS

Bekas perdana menteri Najib Razak menolak pertuduhan pengubahan wang haram terhadap bekas penasihat medianya Paul Stadlen dan peguam Umno Hafarizam Harun, menyifatkannya sebagai bermotifkan politik.

Najib memberitahu Malaysiakini wang RM15 juta itu merupakan bayaran untuk "kerja selama beberapa tahun" kepada sebuah syarikat yang ditubuhkan Paul Stadlen.

Beliau mendakwa tiada dana kerajaan digunakan bagi tujuan ini.

"Syarikat Paul mahukan jaminan dana bagi membayarnya. Oleh itu dana untuk tempoh perjanjian tertentu didepositkan melalui Hafarizam di dalam akaun amanah anak guam yang mana kemudiannya digunakan Hafarizam untuk membayar syarikat Paul.

"Itulah sebabnya kenapa kedua-dua Hafarizam dan Paul didakwa dengan jumlah sama sebanyak RM15 juta kerana ia adalah dana yang sama.

"Hafarizam (foto) tidak dibayar RM15 juta oleh saya tetapi menyimpannya di dalam akaun amanah firmanya," katanya.

Sumber wang RM15 juta

Hafarizam hari ini minta dibicarakan terhadap dua pertuduhan yang dikenakan mahkamah mengenai pengubahan wang haram lebih RM15 juta daripada Najib.

Begitu juga, suatu kes telah didaftarkan terhadap Stadlen, dipercayai membabitkan jumlah yang sama.

Najib berkata tuduhan dikenakan seiring pilihan raya kecil Semenyih.

Menurut Najib, beliau akan membuktikan di mahkamah sumber wang RM15 juta itu sah.

Sementara itu, Najib juga mengulas tuduhan yang dikenakan terhadapnya kerana didakwa membuat pindaan pada laporan Jabatan Audit Negara mengenai 1MDB.

Beliau berkata walaupun kebocoran pada peringkat awal mengatakan beliau telah mengarahkan "laporan akhir" untuk diubah, pertuduhan sebenar yang dikenakan terhadapnya menyebut mengarahkan meminda "draf laporan audit."

Najib juga menafikan laporan bahawa beliau mengarahkan pindaan itu untuk menghapuskan penglibatan Jho Low (foto) dalam laporan audit.

"Bagaimanapun, seperti yang saya sebutkan, kerajaan telah menjawab di parlimen sebelum ini bahawa penglibatan Jho Low bagi pihak rakan kongsi Arab Saudi," jelasnya.

Malaysiakini sebelum ini melaporkan Ketua Audit Negara Madinah Mohamad berkata bahawa setiausaha peribadi Najib, Shukry Mohd Salleh mengarahkan dipadamkan rujukan Low hadir di dalam mesyuarat lembaga pengarah 1MDB.

Madinah mendakwa Najib telah mengarahkan penghapusan dua perenggan mengenai penyata kewangan 1MDB pada 2014.

Lihat Komen