malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Pemulangan Sirul dari Australia dibincang dengan PM - Wan Azizah
Diterbitkan:  Feb 20, 2019 10:47 PM
Dikemaskini: 2:47 PM
ADS

Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata deportasi Sirul Azhar Umar, yang disabitkan kesalahan dan dihukum mati kerana membunuh model Mongolia Altantuya Shaariibuu, dari Australia akan dibincangkan dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

"Ia akan dibincang dengan Perdana Menteri. Jika hukuman mati mandatori boleh diubah, dia (Sirul) boleh balik," kata Dr Wan Azizah ketika diminta mengulas mengenai usaha Sirul Azhar mendapatkan suaka politik ditolak oleh sebuah mahkamah Australia pada Isnin, sebagaimana dilaporkan sebuah portal berita negara itu hari ini.

Dr Wan Azizah ditemui selepas merasmikan ulang tahun ketiga Persatuan Usahawan Cina Malaysia (PUCM), di Kuala Lumpur malam ini. Majlis itu bersempena ulang tahun ke-45 hubungan diplomatik Malaysia-China.

Turut hadir presiden PUCM Datuk Keith Li dan Duta Besar China ke Malaysia Bai Tian.

Jurucakap Jabatan Peguam Negara Australia berkata hari ini Sirul Azhar boleh diekstradisi ke Malaysia dengan syarat ada aku janji bahawa hukuman mati tidak akan dilaksanakan.

Sirul Azhar, bekas seorang pengawal peribadi, dikenakan hukuman mati itu pada 2015.

Mengulas kain rentang yang dikesan dipasang di Bangsar untuk menolak kepimpinan Perdana Menteri dan mendukung Presiden PKR Anwar Ibrahim, Dr Wan Azizah berkata: "Itu perbuatan jahat untuk memecah-belahkan kami."

Mengenai hubungan bilateral Malaysia-China, Dr Wan Azizah memberi jaminan bahawa hubungan itu tetap kukuh walaupun berlaku pertukaran kerajaan.

Hubungan dagang bilateral antara kedua-dua negara itu yang berada pada tahap paling tinggi pada 2018, meningkat 13 peratus kepada US$108.6 bilion (RM443 billion) dari US$96 bilion (RM392 bilion) pada 2017, sementara jumlah pelawat China ke Malaysia bertambah hampir 30 peratus kepada 2.94 juta tahun lepas.

- Bernama

Lihat Komen