malaysiakini logo
story-image
ADS

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Husam Musa memberitahu media bahawa beliau dinasihatkan tidak memberi kenyataan berhubung kehadirannya memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM), di Kota Bharu, Kelantan malam ini.

"Saya dinasihatkan oleh SPRM supaya tidak memberi apa-apa komen, bagi mereka (SPRM) selesaikan," katanya ketika ditemui media sebaik keluar daripada Ibu Pejabat SPRM Kelantan, sebentar tadi.

Husam yang juga pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kelantan keluar selepas kira-kira sejam 30 minit memberi keterangan.

Ketika ditanya berhubung tujuan dipanggil SPRM itu, Husam mengesahkan ia mempunyai kaitan dengan dakwaan penyaluran dana Umno kepada pemimpin PAS yang sedang disiasat. 

Terdahulu Malaysiakini melaporkan, Husam tiba di pejabat SPRM itu jam 9.25 malam dengan menaiki kereta jenis Toyota Inova ditemani pemandu.

Turut hadir beberapa pimpinan Amanah peringkat negeri Kelantan dan kira-kira 20 penyokong.

Sebelum ini media melaporkan Husam antara empat individu yang akan dipanggil SPRM untuk memberi keterangan berhubung dakwaan penerimaan dana Umno oleh pemimpin PAS.

Perkembangan terbaru ini hadir selepas Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz mengakui rakaman audio yang tular Mac tahun lalu adalah suaranya.

Pada 8 Februari lalu Nik Abduh dipanggil memberi keterangan kepada SPRM berhubung kes tersebut.

Lihat Komen