malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'RCI diperlukan kerana polis, SPRM tak boleh rakam kenyataan hakim'
Diterbitkan:  Feb 19, 2019 11:34 PM
Dikemaskini: 3:48 PM
ADS

Polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak boleh menyiasat dakwaan Mahkamah Rayuan Hamid Sultan Abu Backer berhubung salah laku dalam institusi kehakiman tanpa kebenarannya, kata peguam Arun Kasi.

Jelas Arun, agensi penguatkuasaan adalah sebahagian daripada badan eksekutif kerajaan, justeru, ia tidak boleh memaksa hakim merakamkan keterangan.

"Jika mereka (agensi penguatkuasaan) mengambil keterangan daripada hakim, sama ada dengan kemahuan sendiri atau tidak, ia adalah pelanggaran pemisahan kuasa.

"Jadi, situasi sekarang polis dan SPRM tidak boleh tangani. Jadi siapa yang boleh tangani dakwaan ini?

"Ini adalah sebab kenapa semua orang menggesa suruhanjaya siasatan diraja (RCI), kerana RCI mempunyai bidang kuasa lebih luas dan tertakluk di bawak Akta Suruhanjaya Siasatan 1950," katanya.

Arun berkata demikian dalam program Agenda Awani yang disiarkan Astro Awani malam ini.

Hamid dalam afidavitnya minggu lalu mendakwa hakim-hakim tertinggi tertentu membantu pihak swasta menipu kerajaan.

Beliau juga mendakwa berlaku campur tangan dalam kes-kes melibatkan pendakwaan ke atas pemimpin Pakatan Harapan (PH).

Justeru, Hamid menggesa penubuhan RCI bagi meneliti dakwaannya.

Hakim itu juga enggan kenyataannya dirakamkan apabila dihampiri SPRM di pejabatnya semalam, dengan peguam yang mewakilinya Haniff Khatri Abdulla berkata bahawa anak guamnya hanya akan memberi maklumat kepada pasukan khas yang ditubuhkan bagi RCI.

Dalam program bual bicara Astro Awani malam ini, Haniff yang turut tampil sebagai salah seorang panel, menegaskan bahawa pasukan petugas khas itu perlu terdiri daripada hakim bersara, pesara dari Pejabat Peguam Negara, dan pesara peguam swasta.

Tambah Haniff, kalau boleh, ketiga-tiga mereka perlulah merupakan individu yang bersara sebelum tahun 2000 bagi memastikan mereka tidak terlibat dalam dakwaan salah laku berkenaan.

Peguam itu turut berkata bahawa pasukan petugas khas itu perlu diberikan masa tiga bulan untuk mengumpulkan maklumat secara rahsia sebelum mengemukakan cadangan terma rujukan RCI kepada kerajaan.

[Baca berita asal]

Lihat Komen