malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Bomba selamat 5 mangsa terperangkap banjir kilat
Diterbitkan:  Feb 19, 2019 10:02 PM
Dikemaskini: 2:02 PM
ADS

Tindakan pantas Jabatan Bomba dan Penyelamat Bentong berjaya menyelamatkan lima lelaki dan seorang wanita dalam dua kenderaan yang terperangkap dalam banjir kilat di Jalan Bentong-Raub, berhampiran Kampung Sungai Penjuring, Bentong pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bentong Zainal Abidin Nong Chik berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 11.45 pagi sebelum bergegas ke tempat kejadian dengan kekuatan 10 anggota dan pegawai.

“Semasa tiba di tempat kejadian, didapati dua kenderaan iaitu sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Nissan Navara dan sebuah lori satu tan terperangkap dalam banjir kilat sedalam 1.2 meter sepanjang 200 meter itu dengan lima mangsa didapati cuba menyelamatkan diri dengan berdiri di atas kenderaan masing-masing.

“Keadaan arus yang deras menyebabkan kami terpaksa bertindak pantas menyelamatkan mangsa menggunakan tali dan jaket keselamatan untuk menarik mangsa ke kawasan yang tidak terjejas dengan banjir,” katanya ketika dihubungi di Kuantan hari ini.

Menurutnya kelima-lima mangsa yang berumur 30-an hingga 40-an kemudian berjaya diselamatkan dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurut Zainal Abidin kejadian banjir kilat di kawasan itu berpunca hujan lebat di kawasan Raub yang bermula malam semalam sehingga pagi tadi menyebabkan air sungai yang berhampiran melimpah ke jalan sehingga berlaku banjir kilat.

Bagaimanapun, katanya tiada mangsa banjir yang dipindahkan di Bentong setakat malam ini.

- Bernama

Lihat Komen