malaysiakini logo
story-image
ADS

Penduduk Pulau Banggi di Kudat, Sabah boleh menarik sedikit nafas lega dengan pengumuman pembinaan balai bomba kategori E yang akan dibina di pulau itu.

Anggota Dewan Undangan Negeri Banggi, Mohammad Mohamarin berkongsi perkara itu melalui kenyataan di Facebook hari ini selepas menerima kunjungan rombongan Pengarah Bomba Sabah Kamarulzaman Malik Abdullah.

"Alhamdulillah Pulau Banggi bakal ada Balai Bomba Kategori E," katanya yang turut memuat naik gambar pertemuan itu.

Balai bomba kategori E adalah balai bomba kelas rendah yang biasanya dibina di kawasan yang dianggap tidak ekonomik untuk meletakkan anggota dan jentera.

Ia biasanya diselenggara oleh pasukan sukarelawan.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Mohammad menyifatkan pembinaan balai bomba kategori E itu sebagai permulaan yang baik.

"Walaupun kategori E, dan cuma dikendalikan sukarelawan, setidaknya ia akan mempunyai aset (peralatan memadamkan kebakaran) memandangkan aset sebelum ini sudah rosak dan pasukan bomba sukarelawan yang dulu sudah tak aktif.

"Yang penting ada dulu. Kita akan usaha untuk pohon agar dinaik taraf agar aset dan kemudahan bomba dinaik taraf, bersesuaian dengan status daerah Banggi. Semoga satu hari Banggi akan diiktiraf sebagai daerah penuh," katanya.

Isu ketiadaan balai bomba di pulau terbesar negara itu mendapat perhatian media selepas kebakaran pada 13 Jan yang melibatkan 81 rumah, dua kuarters guru, dan seramai 300 penduduk kehilangan tempat tinggal.

Ketika kejadian, anggota bomba dari tanah besar Kudat dikatakan terpaksa dikerahkan ke Pulau Banggi menggunakan bot untuk memadamkan kebakaran.

Laporan Malaysiakini pada 28 Jan lalu memetik Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, yang berkata pulau dengan populasi hampir 30,000 penduduk itu tidak mempunyai kelayakan untuk pembinaan sebuah balai bomba.

Selain Mohamad, Amanah Sabah sebelum ini turut tampil menggesa agar Kementerian Perumahan dan Kerajaan tempatan (KPKT) mempertimbangkan pembinaan balai bomba di pulau itu.

 

Lihat Komen