malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Debat p'raya hanya gimik, lagi baik jumpa pengundi - Ismail Sabri
ADS

PRK SEMENYIH | Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob berpendapat adalah lebih baik calon BN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih menumpukan perhatian berjumpa dengan pengundi daripada menyambut pelawaan debat.

Katanya, beliau lebih suka melihat calon BN Zakaria Hanafi ‘buat kerja’ daripada semata-mata berdebat yang disifatkannya hanya untuk gimik.

“Saya ingat kita buat kerja saja, untuk kenalkan diri, berjumpa pengundi. Saya rasa lebih baik calon turun jumpa seramai mana pengundi.

“Debat kadang-kadang hanya untuk gimik semata-mata,” katanya kepada pemberita semasa program Ziarah Kasih Mesra Rumah ke Rumah di pusat daerah mengundi (pdm) Sesapan Kelubi.

Ismail menjelaskan, bukan semua penduduk tempatan di Semenyih yang dapat mendengar debat yang dianjurkan oleh pihak-pihak tertentu.

“(Macam) Pakcik ini, mungkin tak dengar pun debat. Tapi kalau calon datang ke rumah ini, jumpa (pengundi) terutama yang sakit seperti ini, saya rasa itu lebih baik daripada berdebat semata-mata”, katanya sambil menunjuk ke arah tuan rumah yang diziarahinya.

“Pasal (kerusi) ini bukan parlimen, ini DUN,” tambahnya lagi.

Semalam, Zakaria mengesahkan dia tidak akan menyertai program debat yang akan dianjurkan Bersih, 25 Februari ini.

Seperti Ismail, Zakaria juga berkata dia akan menggunakan tempoh 14 hari berkempen bagi bertemu pengundi bagi mendengar masalah mereka.

Calon PH Muhammad Aiman Zainali juga menolak untuk menyertai debat tersebut, menjadikan hanya calon PSM Nik Aziz Afiq Abdul sebagai calon tunggal yang bersedia menyertainya. 

Lihat Komen