malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Ismail gesa pastikan hanya individu dalam permit beri ceramah
ADS

Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob menyeru jentera kempen BN dalam pilihan raya kecil (PRK) Semenyih memastikan agar hanya individu yang disenaraikan dalam permohonan permit dibenarkan menyampaikan ceramah dalam program mereka.

“Saya dah pesan kepada jentera di pusat daerah mengundi (PDM), sesiapa yang tiada nama dalam senarai penceramah yang dihantar ke pihak berkuasa untuk kelulusan permit, jangan benarkan.

“Tak kira siapa, walaupun kepimpinan tertinggi parti atau bekas-bekas menteri. Kalau tiada (nama) dalam permit, jangan benarkan (berceramah),” katanya kepada pemberita semasa program Ziarah Kasih Mesra Rumah ke Rumah di PDM Sesapan Kelubi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menghentikan program BN semalam yang turut menampilkan bekas menteri besar Selangor Mohamad Khir Toyo.

Program berkenaan merupakan yang ketiga dihentikan SPR kerana tidak mempunyai permit. SPR mengambil tindakan sama terhadap program PH pada 16 Feb lalu dan sebuah lagi program BN, kelmarin.

Jelas Ismail, Mohamad Khir sememangnya tiada dalam senarai penceramah yang dijadualkan bagi program semalam.

“Dia (Mohamad Khir) tiba-tiba datang dan berceramah. Mungkin dia datang jalan-jalan untuk tengok (majlis), orang di situ nampak dia sebagai bekas MB Selangor, (jadi) sebagai penghormatan, panggil dia untuk (beri) ceramah.

“Walaupun niat baik, undang-undang tetap undang-undang. Kita akan patuh,” katanya lagi.

Zahid datang minum kopi, tak perlu permit

Sementara itu, mengulas kedatangan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi ke Semenyih hari ini, Ismail menjangkakan ia tidak akan menimbulkan masalah.

Katanya, acara-acara yang melibatkan Ahamd Zahid tidak melibatkan ceramah, sebaliknya lebih kepada acara-acara santai.

“Dia tak ada ceramah. Datang minum kopi di kedai itu tak payah permit.

“Permit untuk penceramah,” tambah Ismail lagi.

Semalam, pihak polis juga mengingatkan semua pihak terlibat agar tidak culas memohon permit memandangkan pasukan khas bagi mengendalikan urusan permohonan permit di ibu pejabat polis daerah (IPD) Kajang beroperasi selama tujuh hari seminggu, dari lapan pagi hingga lima petang.

Lihat Komen