malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Bazar Ramadan Jalan TAR: Mohon dalam talian susahkan penjaja - Persatuan
ADS

Persatuan Penjaja-Penjaja dan Peniaga-Peniaga Kecil Melayu, Wilayah Persekutuan (PPPKM) hari ini menggesa Kementerian Wilayah Persekutuan supaya mengekalkan tradisi lama dalam penganjuran Bazar Ramadan di Jalan Tuanku Abdul Rahman (Jalan TAR).

Pengerusinya, Mohammad Abdullah berkata keputusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bahawa semua permohonan hendaklah dibuar melalui atas talian sebagai tidak sesuai.

"Kami mengalu-alukan cadangan Menteri (Wilayah Persekutuan Khalid Abd Samad) untuk laluan sepanjang Jalan TAR akan ditutup bermula 15 Mac depan sebagai laluan pedestrian mall."

"Kami tidak risau dengan persatuan-persatuan yang bertindak tidak menyokong dengan cadangan menteri, tetapi, PPPKM menyokong laluan pedestrian mall yang akan memudahkan perniagaan di kawasan ini," katanya kepada pemberita dalam satu sidang media yang diadakan dihadapan Kompleks Sogo, petang tadi.

Tambahnya, PPPKM juga menyokong keputusan DBKL untuk menempatkan peniaga bazar ramadan untuk berpindah daripada kawasan Masjid India ke Jalan TAR.

"Yang kita minta sekarang adalah membiarkan penganjuran bazar ramadan dibuat dengan tradisi lama sebaliknya bukan secara talian terus yang akan menyusahkan penjaja yang kurang berpengalaman mengendalikan komputer.

"Proses permohonan bazar ramadan hendaklah dibuat seperti biasa (mohon melalui persatuan). Permohonan melalui talian akan menyusahkan peniaga yang kurang berpengetahuan. 

"Selain itu, permohonan melalui atas talian mengakibatkan kemungkinan penjaja-penjaja yang membuat perniagaan dikawasan Masjid India akan hilang 'tapak tradisi'," katanya lagi.

Selanjutnya, Abdullah berkata permohonan atas talian juga memberi ruang kepada peniaga-peniaga dari luar mengambil peluang di kawasan ini.

"Kita (PPPKM) ada banyak ahli. Jadi, biarlah kami anjur seperti dahulu di mana persatuan kami juga menjaga keselamatan, kebersihan dan sebagainya. Tidak pernah ada masalah.

"Kami tidak membantah permohonan atas talian. Tapi, buatlah secara berperingkat," jelasnya sambil menambah PPPKM juga ingin mengekalkan cara permohonan tradisi lama di kawasan-kawasan lain Wilayah Persekutuan.

Untuk rekod, Khalid Samad menyatakan bahawa laluan sepanjang Jalan TAR di Kuala Lumpur dari Kompleks Membeli-belah Sogo akan ditutup kepada semua kenderaan kecuali bas bermula 15 Mac depan.

Penutupan jalan sepanjang kira-kira satu kilometer itu dari Jalan Esfahan sehingga Jalan Melayu dibuat bagi memberi lebih keselesaan kepada orang ramai untuk berurusan di kawasan perniagaan tersebut, katanya.

"Kita berhasrat menjadikan laluan bermula dari hadapan Sogo sehingga ke Wisma Bandar sebagai laluan bebas kenderaan atau pedestrian mall di mana pengunjung boleh berjalan kaki untuk membeli-belah," katanya pada sidang media selepas majlis Bicara Makan Tengahari sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan di ibu negara hari ini.

Jika keadaan berjalan lancar, beliau berkata pihaknya sedia untuk menempatkan peniaga bazar perayaan yang memohon lesen berniaga di Jalan TAR dari DBKL untuk beroperasi di sepanjang laluan yang dikosongkan itu pada bulan Ramadan akan datang.

Beliau berkata laluan yang boleh menempatkan sehingga 200 lot tapak perniagaan itu juga akan dibenarkan untuk beroperasi pada musim perayaan lain.

"Kita sedang memperincikan susun atur peniaga, namun yang pasti keputusan ini akan memberikan kelegaan kepada semua pihak kerana dapat menjalankan perniagaan di kawasan yang lebih luas dan selesa.

"Penempatan hanya melibatkan mereka yang memohon lesen untuk berniaga semasa bulan Ramadan manakala peniaga sedia ada akan dikekalkan di tapak asal," katanya.

Khalid berkata keputusan itu juga diambil bagi menjaga kepentingan kedai-kedai Melayu di kawasan tapak lama bazar Ramadan yang mana perniagaan mereka terhalang sepanjang bazar perayaan itu berlangsung.

Lihat Komen